suria

Hanya belajar silat untuk drama tiga tahun lalu, Vanidah Imran kini wakili Malaysia ke Korea Selatan

Vanidah merupakan salah seorang daripada 20 peserta yang terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan seni mempertahankan diri dunia.

PELAKON Vanidah Imran meluahkan rasa teruja apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) 2019 di Korea Selatan bersama Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi).

Menurut Vanidah, 46, setelah tiga tahun menjalani latihan bersama pasukan tersebut, dia merupakan salah seorang daripada 20 orang peserta yang layak menyertai pertandingan berprestij dunia itu.

"Sebenarnya, sudah tiga tahun saya melibatkan diri dalam Pusaka Hanafi. Tetapi saya kurang berkongsi mengenai penglibatan saya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Vanidah Imran Korbankan Kerjaya Demi Anak-Anak

"Saya terpilih untuk mewakili Malaysia bersama 19 peserta yang lain dan kami telah menjalani latihan secara intensif selama dua bulan.

"Insya-Allah, kami akan melakukan persembahan terbaik di sana. Rasa berdebar itu ada kerana kami mewakili Malaysia, tetapi kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik demi negara tercinta," katanya.

20 ahli Silat Pusaka Hanafi yang terpilih mewakili Malaysia.

Vanidah ditemui semasa sesi latihan yang diadakan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini.

Dia bersama 19 peserta lain akan berangkat ke Korea Selatan dan memulakan saingan pada 20 Ogos hingga 7 September ini.

Bagi edisi kali ini, mereka akan bersaing dengan atlet dari 100 negara lain.

Dalam pada itu, Vanidah berkata minatnya untuk mempelajari ilmu silat ini selepas terbabit dengan satu persembahan teater.

Vanidah dan bekas suaminya, Rashidi Ishak aktif menyertai pelbagai sukan dan aktiviti lasak.

"Sebelum ini saya ada belajar beberapa jenis silat dan seni mempertahankan diri untuk lakonan drama, filem atau teater tetapi saya hanya belajar yang asas sahaja.

"Saya terbuka hati untuk mempelajari Pusaka Hanafi dengan lebih mendalam selepas terlibat dengan pementasan teater. Tak pernah terfikir untuk mendalami bidang ini dengan lebih serius sehingga mewakili Malaysia.

"Peluang yang diberikan saya galas dengan penuh rasa tanggungjawab dan menjadi penghormatan besar untuk saya dalam mewakili Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi berkata pemilihan Vanidah adalah kerana komitmen yang ditunjukkan aktres tersebut.

Presiden Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi.

Menurutnya, Vanidah telah menjalani latihan selama tiga tahun dan benar-benar layak mewakili persatuan tersebut.

"Sebenarnya Vanidah ini memang aktif bersama Pusaka Hanafi, dia tunjukkan semangat yang membuatkan kita mengambil keputusan untuk memilihnya.

"Komitmen yang ditunjukkan olehnya itu membuatkan dia layak bertanding di peringkat antarabangsa.

"Kami bukan pilih dia sebab dia artis ya... kalau kata sebab dia artis rasanya ada sahaja selebriti lain yang sertai silat ini antaranya Fauziah Latiff," ujarnya.

Artikel Lain