suria

Budak 9 tahun dihina, Nana Mahazan sedih anak jadi mangsa 'body shaming'... “Ada yang samakan dengan wajah haiwan”

Nana mudah terasa hati dengan kecaman dan hinaan netizen terhadap anaknya. Foto Instagram @nanamahazan

KEBEBASAN bersuara bagi menyuarakan pendapat di media sosial menjadi semakin tidak terkawal apabila ada segelintir pihak yang tergamak menulis kata-kata hinaan berhubung fizikal seorang kanak-kanak.

Berkongsi mengenai perkara itu, pengacara Nana Mahazan berkata hatinya sering tersentuh apabila anak sulungnya, Althea Raqeem Brian yang kini berusia sembilan tahun menjadi mangsa body shamming dan buli di media sosial.

Bagaimanapun, Nana, 36, berkata tiada apa yang mampu dilakukan selain memadam komen tersebut dan menyekat individu yang menulis kata-kata hinaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nana Mahazan Takut Pembantu Rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Nana Mahazan Guna Duit Sendiri Kumpul Peserta AF1

"Anak saya selalu jadi mangsa kecaman dengan pelbagai gelaran, ada yang kata selekeh dan menyamakan dengan wajah haiwan.

"Mereka tinggalkan komen itu di akaun Instagram saya, mujur anak-anak tak baca tapi emak lah sentap (kecil hati) apabila baca. Terus saya padam dan sekat akaun itu.

Keluarga bahagia... Nana bersama suami dan dua cahaya mata mereka.

"Cakap buruk tentang saya tak apa, jangan tentang anak... saya akan meroyan (marah) seorang diri kemudian padam komen, itu sajalah boleh buat," katanya kepada mStar.

Nana ditemui ketika majlis pelancaran portal e-niaga, Cantix, yang diadakan di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama ini merupakan antara 17 selebriti perintis yang memasarkan produk menerusi portal e-niaga Xtra, di bawah kendalian Media Prima Berhad (MPB), selain Datuk AC Mizal, Zoey Rahman, Juliana Evans, Nora Danish, Dynas Mokhtar, Karl Shafek dan karakter animasi popular, Ejen Ali.

Dia yang suka pakai baju atau fesyen begitu, takkan saya nak suruh dia pakai kasut tumit tinggi pula!

NANA MAHAZAN

Pengacara

Dalam pada itu, Nana berkata dia enggan memaksa Althea bergaya cantik dengan fesyen tertentu kerana berasakan anak perempuannya itu masih dalam proses mencari identiti bersesuaian dengan usianya.

Justeru itu, Nana memberi kebebasan penuh kepada anaknya dalam menentukan gaya dan fesyen yang dia minati.

Nana beri kebebasan kepada anak-anak dalam menentukan minat mereka.

"Ada orang kata emak sahaja cantik, anak selekeh... saya memang tak larang dia nak bergaya macam mana, ikut sahaja apa dia suka.

"Dia yang suka pakai baju atau fesyen begitu, dia masih nak mencari identiti sendiri, takkan saya nak suruh dia pakai kasut tumit tinggi pula!," ujarnya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk menambah cahaya mata ketiga, Nana memberitahu dia masih belum memikirkan mengenai perkara itu.

Suami meminta Nana mengabaikan komen-komen negatif netizen di laman sosial.

Ini kerana dia mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap dua anaknya itu dan mahu membesarkan mereka dengan pendidikan terbaik.

"Belum nak tambah lagi, setakat ni sekolah mahal. Saya nak yang terbaik untuk anak.

"Memang betul kalau ada ramai anak, rezeki akan bertambah tapi rasanya dua dah cukup. Saya nak bagi yang terbaik dan fokus untuk mereka berdua membesar dulu," katanya.

Terdahulu, Nana berkahwin dengan Raqeem Brian Abdullah pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata, iaitu, Althea dan Aaqib.

Nana Mahazan

Artikel Lain