suria

Selepas isu curang, kedai terbakar, suami Nadya Syahera terbabit kes pendatang haram - “Dugaan tak putus-putus”

Suami Nadya mungkin berhadapan dengan hukuman penjara sekiranya peguam mereka tidak membantu.

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib pelakon Nadya Syahera dan suaminya selepas isu curang, kedai makan terbakar dan kini didakwa atas tuduhan membenarkan imigran haram tinggal dalam sebuah permis.

Menurut Nadya, 26, suaminya Fizul Nawi memerlukan wang sebanyak RM30,000 untuk membayar denda atas tuduhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Nadya Syahera trauma restoran terbakar depan mata... “Tiba-tiba gas menyembur keluar dan terus menyambar api”

Bagaimanapun jelas Nadya, duit dalam simpanan mereka itu perlu digunakan untuk memperbaiki kedai makan yang terbakar pada 18 Julai lalu.

"Dugaan memang datang tak putus-putus sekarang ini. Berkenaan dengan kes imigran ini memang saya tahu suami perlukan duit untuk membayar denda.

Suami Nadya terpaksa menggunakan duit yang dikumpul untuk perbaiki kedai makannya yang terbakar. 

"Dia pun dah bekerja keras cari duit dan bila dah cukup tiba-tiba pula kedai terbakar. Jadi terpaksa gunakan duit yang dikumpul untuk baiki kedai.

"Kalau tak berniaga nanti mana dapat income. Selepas kedai dah selesai, dapat pula surat kena dakwa di mahkamah," kata Nadya kepada mStar.

Pada Selasa, suaminya mengakui bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membenarkan imigran haram tinggal di sebuah premis.

Fizul nama sebenarnya Mohd Hafizul Md Nawi didakwa dengan sengaja membenarkan tujuh imigran haram masuk dan tinggal di sebuah premis di Shah Alam pada pululam 10.10 malam, 20 Februari lalu. 

Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Noor Asfihan Abdul Wahid mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan) 2002.

Apa-apa pun kami belajar daripada kesilapan dan tidak akan mengulangi perkara yang sama.

Nadya Syahera

Pelakon

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM30,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap warganegara asing yang dibenarkan berada dalam premis.

Terdahulu, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar menangguhkan keputusan hukuman pada tarikh lain di atas alasan anak guamnya tidak mempunyai cukup wang.

Hakim Saifulakmal Mod. Said kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 26 September ini untuk keputusan jatuh hukum.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Nadya menganggap dugaan itu teguran Allah untuk mereka.

Dalam pada itu, Nadya mengakui perkara tersebut menjadi pengajaran berharga buat dia dan suami terhadap pengurusan pekerja dan lebih berhati-hati. 

"Apa-apa pun kami belajar daripada kesilapan ini dan tidak akan mengulangi perkara yang sama," ujarnya.

Nadya Syahera, Fizul Nawi

Artikel Lain