suria

PM minta bantuan polis, bomba selepas gagal hubungi arwah, Raja Ahmad Alauddin meninggal dunia dalam tidur

Pengarah Raja Ahmad Alauddin meninggal dunia pada Khamis. FOTO IG @Apit_marcello

PENGARAH Raja Ahmad Alauddin, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 6 pagi, Khamis.

Pengurus Produksi (PM) syarikat Pena Creative Pictures, Mohd Syahidan Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, Allahyarham dipercayai meninggal dunia dalam tidur di rumahnya.

Kata Mohd Syahidan, dia mula berasa sesuatu yang tidak kena selepas cubaannya untuk menghubungi arwah tidak berjaya.

"Seperti biasa saya akan menjemput dia untuk ke set penggambaran pada pukul 6 pagi setiap hari.

"Apabila saya call arwah dari pukul 6 pagi tetapi tidak berangkat, ketuk pintu rumah pun tiada respons... saya rasa tak sedap hati, jadi buat keputusan untuk buat laporan polis.

"Dengan bantuan polis dan bomba, kami masuk ke rumahnya dan lihat arwah hanya terbaring di atas katil. Dia meninggal dalam tidur," katanya kepada mStar.

Allahyarham meninggal dunia pada pagi Khamis ketika sedang tidur.

Dalam pada itu Syahidan berkata, dia menyedari kelakuan Allahyarham mula berubah apabila dia banyak mendiamkan diri ketika di set penggambaran drama slot Lestari, Pesan Pada Hati.

"Saya kenal arwah hampir 16 tahun, dia memang seorang yang sangat menepati masa. Dia tidak pernah gagal untuk bangun pagi.

"Sepanjang 20 hari, pukul 5.30 pagi kami sudah mula shooting. Tapi tiba-tiba hari ini dia diam sampai pukul 8 tiada berita. Saya rasa pelik, sebab tu buat keputusan untuk buat laporan polis. Sekarang saya sedang tunggu waris.

"Arwah seorang yang happy go lucky tapi semalam dia banyak diam, duduk seorang diri dan termenung," katanya.

Antara drama popular arahannya adalah Curi-curi Cinta, Ariana Rose, Aurora Aisyah, Demi Cinta Ain dan Hanya Di Atas Kertas.

Beliau juga pernah mengarah beberapa filem termasuk Hati Bukan Kristal, Kayangan dan Lurah Dendam.

Sepanjang kariernya dalam bidang pengarahan, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Asar.

Artikel Lain