suria

Serang, cekik pekerja stesen minyak... penyanyi BBNU ditahan polis!

Penyanyi menyerang dan mencekik pekerja di sebuah stesen minyak pada Rabu.

PENYANYI yang juga komposer lagu ditahan polis selepas bertindak mencekik seorang pekerja sebuah stesen minyak di Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, penyanyi lelaki berusia 21 tahun itu ditahan anggota polis selepas kejadian itu dimaklumkan oleh pengurus stesen minyak berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku ketika artis terbabit muncul di premis itu untuk mengisi petrol kenderaannya.

"Berlaku salah faham ketika artis itu membuat bayaran terhadap minuman yang mahu dibeli.

"Difahamkan artis itu mahu membuat bayaran menggunakan kad kredit, namun kaedah pembayaran itu tidak diterima oleh kakitangan stesen minyak itu," katanya.

Tambahnya lagi, artis itu tidak berpuas hati kemudian menyerang kakitangan lelaki terbabit serta mencekik leher mangsa.

Pengurus stesen minyak turut bertindak segera menghubungi polis selepas gagal mendapatkan kerjasama daripada artis tersebut.

Anggota polis yang cuba menenangkan keadaan turut dicabar sehingga terpaksa menahan dan membawa penyanyi itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

"Anggota unit peronda polis (MPV) yang muncul di lokasi tidak lama kemudian cuba menenangkan keadaan.

"Namun artis itu mencabar anggota polis bertugas menyebabkan polis terpaksa menahan dan membawanya ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan penyanyi 'baru nak up' itu sudah dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

BBNU, ditangkap

Artikel Lain