suria

Haneesya Hanee menangis sebab sup sirip ikan yu, netizen kata sekadar air mata ‘drama’ - “Itu betul-betul bukan berlakon”

Haneesya berkata tangisannya itu adalah benar dan bukan lakonan seperti didakwa netizen.

TINDAKAN pelakon Haneesya Hanee berkongsi video menangis kerana melihat menu makanan berasaskan sirip ikan yu di sebuah restoran baru-baru ini mengundang pelbagai kritikan netizen.

Ada yang beranggapan Haneesya, 19, berpura-pura sedih dan berlakon seperti sedang menangis bagi meraih simpati pengikut di Instagram.

Menjawab kecaman netizen itu, Haneesya berkata dia tidak menyangka rakaman itu menjadi tular di media sosial dan mengakui tangisannya itu bukanlah lakonan seperti yang dianggap banyak pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku tak faham kenapa kencing dalam lif?”- Haneesya Hanee berang perangai segelintir penduduk PPR

"Saya tak tahu pula video itu viral... saya tak sempat nak tengok media sosial, saya hanya kongsi video itu di Instastory untuk pengikut.

"Saya memang betul-betul sedih dan menangis. Itu bukan lakonan. Takkanlah saya nak tunjuk menangis teresak-esak di situ.

Sebagai pencinta haiwan, Haneesya akui hatinya mudah tersentuh.

"Sesiapa yang rasa ia macam berlakon terpulanglah, kita tak boleh nak puaskan hati semua orang dan sebagai pencinta haiwan saya memang cukup tersentuh apabila melihat menu tersebut menjadi makanan manusia," katanya kepada mStar.

Menerusi rakaman yang tular tersebut, Haneesya dilihat mengelap air mata dan meluahkan rasa sedih apabila melihat menu sup sirip yu yang dihidangkan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

"Sebaik sahaja saya ternampak menu sup sirip ikan yu, saya menangis... hati saya hancur," tulisnya pada video berdurasi lima saat itu.

Sementara itu, Haneesya memberitahu dia tidak mengetahui restoran yang dikunjunginya bersama beberapa kenalan itu menyediakan hidangan eksotik tersebut sehinggalah terlihat menu berkenaan.

"Saya dengan kawan-kawan order makanan macam biasa, sementara menunggu hidangan dan berbual-bual, saya buka menu dan baru perasan ada hidangan sirip ikan yu itu.

Haneesya sering berkongsi kesedaran mengenai menjaga hidupan liar yang diancam kepupusan.

"Mungkin saya sedikit emosi dan sedih, saya terus share video itu... kalau orang yang kenal saya pasti mereka tahu saya seorang yang sangat mencintai haiwan.

"Sekurang-kurangnya perkongsian itu dapat menyedarkan orang ramai untuk sama-sama menjaga dan melindungi hidupan lain di dunia ini, tanpa mereka ekosistem tidak stabil dan haiwan ini akan pupus," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, bekas peserta Dewi Remaja ini mengakui gementar menanti malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32) yang bakal berlangsung pada Ahad ini.

Sebaik sahaja saya ternampak menu sup sirip ikan yu, saya menangis... hati saya hancur!

HANEESYA HANEE

Pelakon

Tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Haneesya menghargai sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh kelab peminat.

"Saya rasa sangat terharu dengan sokongan peminat dan ini semua merupakan usaha mereka yang meletakkan saya sehingga tercalon dalam Top 5.

"Saya tak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang, tapi andai kata rezeki itu ada, kemenangan tersebut adalah untuk peminat yang tak henti-henti menyokong saya dari awal sehinggi kini!" katanya.

Haneesya Hanee

Artikel Lain