suria

“Mulut-mulut macam mereka ni kita kena ajar” - Nourul Wahab berang netizen tak hormat Tunku Azizah

Nourul meluahkan rasa marah dengan sikap segelintir netizen yang meninggalkan komen negatif terhadap Tuanku Permaisuri Agong.

ISU buli siber dengan kata-kata negatif segelintir netizen terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengundang rasa marah banyak pihak termasuk penyanyi Nourul Wahab.

Menurut Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 41, perbuatan berkenaan disifatkan sebagai keterlaluan dan biadab lebih-lebih lagi kepada Tunku Azizah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah ‘bersuara’ sebab nyahaktif Twitter – “Bukan kerana saya kecewa, sedih atau marah dengan komen mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sedih, marah dan terus aktifkan Twitter” - Reaksi Tunku Azizah selepas dikejut Puteri Afzan

"Sebagai artis, individu yang selalu kena maki, kena kutuk... ya saya anggap ia perkara biasa kerana kami tak ada tittle Duli Yang Maha Mulia.

"Mereka gunakan media sosial untuk lepaskan geram, luahkan rasa sampai mereka sendiri dah tak tahu adab nak hormat orang. Kita boleh tengok sesetengah orang ni tak ada otak dan biadab.

"Saya rasa sangat marah sebab dah selalu kena dan mereka senang-senang guna media sosial untuk lepaskan dendam," ujarnya.

Nourul meluahkan rasa marah dengan segelintir netizen yang meninggalkan komen negatif terhadap Tuanku Permaisuri Agong.

Nourul berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah posting yang dimuat naik ke laman Instagram miliknya pada Rabu.

Selain itu kata Nourul, sebagai rakyat yang hidup berlandaskan institusi Raja Berperlembagaan, kita perlu menghormati sistem berkenaan.

Malah Nourul turut menyuarakan pendapat agar individu berkenaan perlu dikenakan tindakan bagi memberi pengajaran agar sikap biadab seperti itu tidak lagi berulang.

"Kita ni nak pemimpin berjiwa rakyat tapi kita asyik mengata permaisuri. Tunku manusia biasa yang nak kongsi mengenai kisah hidup, untuk memberi inspirasi... bukan saja-saja share atau menunjuk.

"Apabila ada manusia begini memang saya geram. Kita enjoy tengok kehidupan yang dikongsikan permaisuri... Saya rakyat dari negeri yang tiada raja, jadi saya seronok tengok video Tunku.

Pendapat saya mereka perlu ditangkap untuk diberi pengajaran kerana media sosial itu bukan tempat untuk mereka meluahkan segala-galanya

Nourul Wahab

Penyanyi

"Mulut-mulut macam mereka ni kita kena ajar... sebagai rakyat kita kena ada rasa tanggungjawab kepada institusi diraja dan negara kita. Saya setuju polis tangkap walaupun Tunku tak suka penangkapan dilakukan.

"Pendapat saya mereka perlu ditangkap untuk diberi pengajaran kerana media sosial itu bukan tempat untuk mereka meluahkan segala-galanya," katanya.

Terdahulu, kehilangan akaun Tunku Azizah daripada radar Twitter menimbulkan rasa gusar pengikutnya.

Berikutan itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap individu yang meninggalkan komen negatif sehingga ia menarik perhatian Tunku Azizah.

Nourul Wahab, permaisuri Agong

Artikel Lain