suria

“Muka suci dalam debu?” - Aznil tegur ustaz tak sensitif, tulis komen tanpa usul periksa

Paknil menerima permohonan maaf seorang ustaz yang terlanjur meninggalkan komen gurauan di Instagram miliknya.

PENGACARA Datuk Aznil Nawawi menerima permohonan maaf daripada seorang individu yang tidak sensitif kerana meninggalkan komen berbentuk gurauan di foto kenangan dia bersama abangnya iaitu Allahyarham Azharnim Nawawi pada Selasa lalu.

Individu bergelar ustaz itu secara terbuka tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa dia terburu-buru meninggalkan komen tanpa membaca kapsyen yang ditulis Aznil.

"Salam... maaf Paknil, saya tengok muka Paknil terus komen, tak tengok komen (kapsyen) di bawah, salam takziah Paknil... maaf dipinta," tulis individu terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Aznil disuruh ke surau buat ibadat, tinggalkan dunia hiburan... “Saya bukan susu dalam tin yang ada tarikh luput

Sebelum itu, menerusi sekeping foto kenangan Aznil bersama abangnya yang dirakam di hadapan Kaabah, ustaz berkenaan meninggalkan komen berbentuk gurauan sehingga menyinggung hati pengacara tersebut.

"Muka suci dalam debu," komen ustaz itu.

(Foto kiri) Aznil berang dengan komen yang ditinggalkan seorang pengikut. Manakala, (foto kanan) Aznil menerima permohonan maaf lelaki tersebut.

Tindakan lelaki itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya mengenai apakah maksud yang cuba disampaikan pada foto tersebut.

Justeru, Aznil memuat naik satu hantaran meluahkan rasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan ustaz tersebut.

"Semasa saya dalam kesedihan ada juga ustaz yang bergurau ke? Muka ustaz suci pasti ke syurga ke? #mengucappanjang," tulisnya pada Rabu.

Saya memang tengah sangat berduka, saya tersentuh ustaz menghubungi saya walaupun cara terbuka begini.

AZNIL NAWAWI

Pengacara

Aznil bagaimanapun memadam paparan skrin dan kapsyen tersebut setelah beberapa minit dimuat naik.

Kemudiannya, Aznil memuat naik pula perbualan permohonan maaf yang dibuat oleh ustaz tersebut.

Foto kenangan Aznil bersama abangnya di Tanah Suci Makkah.

Tidak mahu memanjangkan isu, Aznil berkata dia terharu apabila ustaz tersebut menghubunginya menerusi Instagram dan menyatakan permohonan maaf.

"Saya memang tengah sangat berduka, saya tersentuh ustaz menghubungi saya walaupun cara terbuka begini.

"Semoga satu hari kita bertemu. Terima kasih rakan syurga ku. Cepat bersalah. Cepat minta maaf. Cepat memaafkan. Alhamdulillah 0-0 (kosong-kosong)," jawabnya.

Azharnim, 61, meninggal dunia pada pukul 9.20 malam, Selasa lalu kerana penyakit kanser.

Pada 19 Ogos lalu, seorang lagi abangnya iaitu Azmir Nawawi meninggal dunia.

Aznil Nawawi

Artikel Lain