PENYANYI Sufi Rashid selamat bergelar suami kepada Nurulain Md Yusof dengan sekali lafaz di Hotel Pulse Grande, Putrajaya pada Sabtu. Sufi, 28, dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan itu sendiri dihadapan Pendaftar Nikah Putrajaya, Hasli Othman. Majlis pernikahan secara sederhana itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat sahaja atas permintaan keluarga pasangan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Sufi Rashid selamat bertunang, nikah tahun depan ARTIKEL BERKAITAN: Ikatan pertunangan Sufi Rashid terjejas kerana fitnah, malu jumpa keluarga perempuan, “Lagi sebulan nikah, lagi berat ujian saya terima” Pada majlis tersebut, Sufi menyerahkan wang hantaran sebanyak RM20,000 serta mas kahwin $300 Singapura Dolar (RM910) dan sebentuk cincin. Sufi bertuah memiliki Ain. Sementara itu, penyanyi lagu Aku Sendiri ini berkata dia berasa cukup bertuah mengenali Nurulain sehinggalah mereka disatukan sebagai suami dan isteri. "Saya bersyukur kerana saya dijodohkan dengan Ain. Ain merupakan isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Dia tidak pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni. "Saya memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan kami hingga ke jannah," katanya. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu. Terdahulu, juara Akademi Fantasia 2015 ini berkenalan dengan Ain pada penghujung 2016 dan mengikat tali pertunangan pada 15 Disember tahun lalu. Majlis resepsi akan berlangsung di Glam Hall, Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Selangor pada Ahad ini.