PELUANG yang diamanahkan untuk menghidupkan watak Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam filem biografi romantik, Hasmah - Bila Deh Bertemu Det tentunya tidak akan disia-siakan pelakon Nad Zainal. Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 29, dia sedaya upaya akan menjiwai sepenuhkan perwatakan isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu. "InsyaAllah, saya akan berjumpa dengan Tun Siti dalam minggu ini juga. ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ini pun dia tipu, entah apa lagi benda lain” - Nad Zainal terkejut foto muncul di 'timeline' sendiri, jadi testimoni produk kecantikan "Dalam pertemuan itu nanti sudah tentu saya akan bertanya banyak perkara dan memerhatikan lenggok percakapan serta pergerakannya sebagai rujukan untuk lakonan saya nanti,” katanya kepada mStar. Nad ditemui pada majlis sidang media dan pra-pelancaran filem terbitan Tune Production di The Love @MaTiC, Kuala Lumpur pada Isnin. Menerusi filem berkenaan, Nad akan bergandingan dengan Hasnul Rahmat yang membawakan watak Dr Mahathir. Nad dan Hasnul digandingkan dalam filem 'Hasmah - Bila Deh Bertemu Det'. Bercerita lanjut mengenai persediaannya menggalas tugas melakonkan watak seorang tokoh wanita yang cukup disegani itu, Nad berkata dia juga sedang giat mengikuti kelas bermain biola. "Inisiatif saya sendiri untuk mengikuti kelas intensif biola supaya dapat memainkan beberapa buah lagu. "Sekurang-kurangnya pada Mac tahun depan saya dapat memainkan lagu kegemaran perdana menteri dan isterinya, Fly Me To The Moon," ujarnya. Kata pemenang Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu lagi, dia juga banyak meluangkan masa dengan menonton video wawancara bersama Dr Siti Hasmah di Internet bagi mendapatkan aura wanita itu. Dalam pertemuan itu, sudah tentu saya akan bertanya banyak perkara dan memerhatikan lenggok percakapan serta pergerakannya sebagai rujukan untuk lakonan saya nanti. NAD ZAINAL Pelakon "Saya biasanya akan tengok balik semua wawancara Tun Siti Hasmah dan tiru sebutir demi sebutir apa yang beliau ucapkan dalam video tu supaya saya jumpa tone suara yang sesuai. "Saya akan praktis depan cermin sampai lah satu tahap saya rasa berpuas hati, saya akan bagi suami saya dengar dan dialah yang akan komen,” kata Nad. Bukan itu sahaja, Nad juga sedang berusaha menurunkan berat badan daripada 48 kilogram (kg) kepada 45kg. Sementara itu Pengarah Urusan Tune Production, Hafiz Rozlan berkata filem berkenaan akan memulakan sesi penggambaran selama 65 hari bermula Mac depan yang melibatkan beberapa lokasi antaranya Perak, Kedah, Singapura, Kobe (Jepun) dan New York dan dijangka ditayangkan pada akhir tahun 2020.