suria

“No more halal next week!” - Beri peluang minggu pertama, Ramli MS minta peserta GV6 lebih kreatif

Peserta GV6 perlu lebih kreatif pada minggu hadapan. Foto IG: @astrogempak.

JURI tetap Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Datuk Ramli MS berkata, dia akan lebih berkeras dalam pemberian markah terhadap persembahan kesemua 13 peserta pada minggu hadapan.

Ini kerana, kata Ramli, peserta yang masih dapat menyanyikan lagu sendiri pada minggu hadapan perlu menunjukkan kelainan biarpun sudah selesa menyanyikan lagu tersebut dalam setiap persembahan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wann Bossanova kembali 'meneran', Ramli MS cabar penyanyi veteran - “Saya tunggu bunyi mahal daripada mereka dalam GV6”

"Sebenarnya menyanyikan lagu sendiri itu tekanannya lebih besar bermaksud lagu itu dah berumur 30 tahun. Berkemungkinan artis itu sudah menyanyikan lebih 3000 kali dan mereka sudah ‘tidak bekerja’ seperti mana seseorang itu perlu belajar untuk menyanyikan lagu baru.

Barisan peserta GV untuk musim keenam.

"Lagipun sangat jarang dalam pertandingan Gegar Vaganza peserta masih dapat menyanyikan lagu mereka pada minggu kedua.

"Jadi dalam hal ini saya perlu berkeras kerana ia tidak adil kepada peserta lain sebelum ini yang perlu belajar nyanyikan lagu orang lain pada minggu kedua,” katanya kepada mStar.

Ramli ditemui pada sidang media selepas persembahan minggu pertama peserta Gegar Vaganza musim keenam di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Menjelaskan soal ‘halal’ dalam memberikan markah pada minggu pertama, Ramli menjelaskan dia memahami dan harus memberi peluang kepada peserta yang sudah lama tidak membuat persembahan di pentas besar.

Sebenarnya menyanyikan lagu sendiri itu tekanannya lebih besar, bermaksud lagu itu dah berumur 30 tahun.

DATUK RAMLI MS

Pengarah muzik

"Kalau dilihat pada lagu, kebanyakannya adalah lagu mereka sendiri. Sebab itu saya ‘halalkan’ minggu ini.

"Rata-rata persembahan mereka malam ini okay. Saya halalkan minggu ini kerana saya faham mereka sudah lama tidak menyanyi di pentas besar. Dengan masalah teknikal, perasaan gemuruh, jadi saya faham.

"Tapi minggu depan pun lagu sendiri juga. Kesalahan seharusnya dielakkan. No more 'halal' next week," tegasnya.

Selain itu, Ramli berkata, peserta seharusnya mengelakkan sebarang masalah dan memberikan persembahan jauh lebih baik mengikut kreativiti masing-masing.

Tambahnya, bagi yang bakal membawa lagu penyanyi lain, mereka perlu menyanyikan lagu berkenaan dengan versi mereka sendiri.

Ramli mahu peserta melakukan persembahan dengan lebih baik minggu hadapan.

"Kalau saya dengar kamu nyanyi macam pasang cd, lebih baik saya pasang cd sahaja. Persembahan mereka perlu jadi 200 peratus lebih baik pada minggu hadapan," katanya.

Program realiti nyanyian Gegar Vaganza kembali untuk musim keenam dengan menampilkan 13 peserta iaitu Wann, Noorshila Amin, Feeza, Mazleela, Nurfatima, Sham Visa, Naqiu Boboy, Roy, Hady Mirza, Ameer Sofazr dan Jatt Black Dog Bone. 

Manakala, dua kumpulan iaitu Kumpulan One Nation Emcee dan pasangan duo, Kool.

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bertindak sebagai juri tetap disamping penyanyi Indonesia Hetty Koes Endang selain beberapa selebriti lain yang akan dijemput sebagai juri undangan.

Datuk Ramli MS, GV6

Artikel Lain