suria

Aksi Hairul Azreen dirikan anak hanya undang padah, padam teguran Dr Sheikh Muszaphar - “Saya sekadar nasihat agar orang ramai tak ikut”

Netizen mempersoalkan tindakan Hairul memadam teguran Dr Sheikh Muszaphar di Instagramnya.

AKSI pelakon Hairul Azreen memegang kaki anaknya, Alisa Aisyah yang baru berusia lima bulan dan membiarkan bayi itu berdiri di tapak tangannya ditegur Angkasawan Negara iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Teguran itu dibuat menerusi ruang komen di video yang dimuat naik Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 31, di Instagram pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau minta anak ketiga pun apa salahnya, saya yang jaga anak itu” - Hairul Azreen pelik gurauan jadi isu

Perkara itu menjadi perbualan netizen di laman Twitter apabila pelakon berkenaan didakwa memadam teguran di video tersebut.

Netizen bertanya sendiri pada Dr Sheikh Muszaphar mengenai tegurannya terhadap Hairul.

"Salam Hairul, apa yang anda buat adalah mengunci lutut untuk dia berdiri tegak. Ia akan menyebabkan bahagian lutut bengkok selepas ini jika bayi tidak bersedia atau terlalu awal.

"Sebab itu bayi hanya akan bersedia untuk berdiri dengan sendiri apabila otot dan tulangnya sudah cukup kuat," tulis Dr Sheikh Muszaphar.

Rata-rata netizen mempertikaikan tindakan pelakon filem Paskal itu seakan tidak mahu menerima teguran yang diberikan.

Saya bimbang melihat Hairul buat anak dia berdiri atas kaki apabila anak perempuannya itu belum cukup kuat. ia mungkin akan menyebabkan lutut menjadi bengkok selepas ini.

DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Angkasawan Negara

Sebelum ini, suami kepada selebriti Hanis Zalikha ini pernah melakukan aksi yang sama terhadap anak lelakinya, Yusuf Iskandar dan anak kepada pelawak Achey.

Dalam pada itu, seorang individu mengambil langkah bertanya sendiri di Instagram Dr Sheikh Muszaphar dan berkongsi jawapan angkasawan negara itu di Twitter.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, dia berasa bimbang melihat aksi Hairul itu yang berkemungkinan boleh menyebabkan bahagian lutut anak perempuan aktor tersebut menjadi bengkok.

Hairul pernah melakukan aksi yang sama pada anak lelakinya, Yusuf Iskandar.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang juga pakar pembedahan ortopedik berkata, niat dia meninggalkan komen tersebut di ruang perkongsian Hairul kerana tidak mahu orang ramai terikut dengan aksi sebegitu.

"Saya bimbang melihat Hairul buat anak dia berdiri atas kaki apabila anak perempuannya itu belum cukup kuat. Ia mungkin akan menyebabkan lutut menjadi bengkok selepas ini.

"Tekanan yang tidak sepatutnya berlaku pada bahagian lutut. Sekadar nasihat supaya orang ramai tidak mengikuti cara itu," katanya.

Artikel Lain