suria

Gitaris Damasutra, Naharuddin meninggal dunia selepas alami batuk berdarah dan semput sejak Sabtu lalu

Alok meninggal dunia kerana serangan jantung.

GITARIS utama kumpulan Damasutra, Naharuddin Yunus atau lebih dikenali sebagai Alok, 55, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Selangor pada Rabu.

Menurut anak kepada Alok iaitu Ahmad Fadzli Naharuddin, 28, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pada pukul 3 pagi.

"Ayah tidak pernah menghidap penyakit jantung sebelum ini tapi mulai batuk berdarah dan semput sejak Sabtu lalu. Saya bawa pergi ke sebuah klinik di Hulu Langat.

"Keadaan ayah bertambah teruk dan mengalami sesak nafas, arwah tidak dapat berjalan dengan sempurna pagi tadi.

"Pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan mendapati bacaan jantungnya lemah. Tidak lama kemudian, ayah tidak memberikan sebarang tindak balas dan meninggal dunia," katanya kepada Harian Metro.

Damasutra dianggotai oleh Bagio selaku vokalis, Amran (pemain bass), Alok (gitar utana) dan Assu (pemain dram).

Sebelum itu, Fadzli berkata dia sempat membawa bapanya makan di luar pada malam Selasa.

"Saya sempat bawa ayah keluar makan dan seronok melihat dia begitu berselera. Tidak disangka hari ini dia pergi meninggalkan kami," ujarnya.

Jenazah telah dibawa ke Surau Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding pada pukul 12 tengah hari.

Alok menyertai Damasutra pada 1991 dan memiliki empat album iaitu Antara Sutra dan Bulan, Asyik, Kurnia dan Penawar sehingga 1996.

Damasutra, Alok

Artikel Lain