suria

Luah hasrat nak bersara, Haji Zeel pujuk Sheila Rusly - “Saya tahu dia kalau merajuk sekejap sahaja tu!”

Haji Zeel ada menghubungi Sheila Rusly bagi mendapat pengesahan mengenai keputusan penerbit itu untuk bersara.

PENERBIT drama Fadzil Teh mendedahkan dia ada menghubungi Sheila Rusly dan memujuknya untuk tidak mengundurkan diri daripada industri seni.

Fadzil atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel berkata, Sheila seakan memberi bayangan akan terus menerbitkan drama di bawah terbitan JS Pictures.

"Saya ada hubungi sis (Sheila Rusly) dan pujuk dia supaya tak terus merajuk, biasalah dalam industri ini ada masanya kita diuji.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak pandai bahasa Inggeris, Pakistan tak syok!” - Haji Zeel dedah sukar cari heroin drama ‘Sara Sajeeda'

ARTIKEL BERKAITAN: “Pelakon sibuk tanya bayaran, pengarah pula tak baca skrip!” - Penerbit Haji Zeel tanggung rugi drama tak menjadi

"Saya tanya kenapa nak berhenti sedangkan kita masih memerlukan dia sebab gandingannya dengan suami, Azman Yahya atau Jinggo sangat okay... dia jawab Insya-Allah dan beritahu nak mula penggambaran tak lama lagi.

"Saya tahu Sheila kalau merajuk sekejap sahaja tu! Kami dah kenal lama dan selalu berkongsi masalah dan saya percaya dia akan datang dengan buah tangan menarik untuk Ramadan tahun depan," katanya kepada mStar.

Haji Zeel sifatkan karya gandingan Sheila dan Jinggo menjadi.

Pemilik Zeel Production ini ditemui semasa sesi Meet & Greet drama Sara Sajeeda yang diadakan di Brunch & Brasserie, Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Sebelum ini, Sheila menerusi laman Instagram memberi bayangan seakan-akan mahu mengundurkan diri daripada industri seni.

Zaman sekarang susah nak cari kerja, jadi saya kasihan kepada kru, artis dan semua tim produksi, mereka ada keluarga yang harus dijaga!

FADZIL TEH @ HAJI ZEEL

Penerbit

Kapsyen itu dimuat naik sehari selepas Anugerah Skrin 2019 berlangsung menyaksikan drama terbitannya berjudul Pia meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian yang dilakonkan oleh Zara Zya dan anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama yang dilakonkan oleh Nabila Huda menerusi drama Dia Tak Berdosa.

"34 tahun menghambakan diri sebagai anak seni. Pagi ini terlintas di hati nak mengundurkan diri. Mohon petunjuk Mu Ya Allah!

Perkongsian Sheila di Instagram menarik perhatian peminat.

"Tahniah Zara Zya untuk Pia dan Nabila Huda untuk Dia Tak Berdosa. Cukup setakat ini. Alhamdulillah,” tulis Sheila.

Dalam pada itu, Haji Zeel turut mengakui pernah terlintas hati untuk bersara sebagai penerbit namun terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana memikirkan masa depan pekerja di belakang tabir.

"Kalau difikirkan saya dah penat dan rasa nak bersara juga tapi apabila difikirkan balik bidang ini bukan tentang saya sahaja.

"Zaman sekarang susah nak cari kerja, jadi saya kasihan kepada kru, artis dan semua tim produksi, mereka ada keluarga yang harus dijaga.

"Sebab itu kalau boleh saya tak nak berhenti hasilkan drama kerana di belakang saya ada mereka yang perlu dibantu," ujarnya.

Haji Zeel, Sheila Rusly

Artikel Lain