suria

Lufya ketepi masalah rumah tangga, undang suami ke majlis hari lahir anak - “Dia tetap bapa Laana Haura”

Lufya tidak mahu ketepikan suaminya sebagai bapa kepada anak mereka.

PELAKON Lufya Omar memberitahu dia ada mengundang suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz untuk hadir ke majlis sambutan hari lahir anak mereka Laana Haura yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Lufya, 34, berkata, suaminya tidak dapat menghadiri majlis tersebut atas kemungkinan sibuk bekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidak perasan anak ikut dari belakang” - Suami Lufya dakwa tak dengar tangisan anak panggil ‘daddy’ berulang kali

Tambah Lufya lagi, biarpun rumah tangga mereka berdepan masalah namun dia enggan mengenepikan status lelaki itu sebagai bapa kepada anak mereka.

Lufya raikan ulang tahun kelahiran anaknya yang ke dua tahun.

"Saya ada ajak tapi dia kata tak boleh datang, mungkin dia sibuk. Saya dah berusaha untuk ajak dia walaupun kami ada masalah yang agak serius.

"Bila saya fikirkan, tak apa mengalah bukan bererti kalah. Kalau saya mulakan buat sesuatu kebaikan, Insya-Allah akan jadi kebaikan nanti.

"Apa saya lakukan demi anak dan Allah. Kiranya, saya tak nak tepikan dia sebagai bapa. Kalau nak ikutkan sakit hati dan masalah hadap, pada saya tak apa la," katanya kepada mStar.

Lufya ditemui pada majlis sambutan hari lahir anaknya, Laana Haura yang kini berusia dua tahun di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.

Saya mahu Haura menjadi seorang yang berpelajaran dan pada masa yang sama dia juga mempunyai ilmu agama yang tinggi.

LUFYA OMAR

Pelakon

Sebelum ini, Lufya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Lufya dan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016.

Dalam pada itu, pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ini berharap anaknya membesar menjadi seorang yang mementingkan ilmu agama apabila sudah dewasa nanti.

Lufya mahu anaknya menjadi seorang yang berpelajaran.

"Saya mahu Haura menjadi seorang yang berpelajaran dan pada masa yang sama dia juga mempunyai ilmu agama yang tinggi.

"Malah, saya simpan impian untuk dia menjadi seorang Hafizah. Tapi sebelum itu, saya pun kena belajar sama-sama. Sekarang ini, saya dalam proses perbaiki bacaan Al-Quran.

"Supaya kelak saya boleh ajar dia pula. Insya-Allah, itu cita-cita saya. Mudah-mudahan dia jadi orang yang ada pelajaran disamping ada ilmu agama," ujarnya. 

Artikel Lain