suria

“Dia ada minta maaf... tapi masa tu tak sangka dia nak pergi” - Isteri tenang cerita perbualan akhir dengan Nassier Wahab

Isteri Nassier Wahab iaitu Datin Fatimah memberitahu arwah sempat memohon maaf kepadanya pada Selasa lalu.

ISTERI kepada penyanyi Allahyarham Datuk Nassier Wahab iaitu Datin Fatimah Abd Rauf tidak menyangka permohonan maaf yang dibuat suaminya pada Selasa lalu merupakan petanda dia akan pergi buat selamanya.

Menurut Fatimah, 56, dia masih mengingati kata-kata yang diluahkan suaminya itu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu nak pegang tangan ayah” - Anak tunggal Nassier Wahab kongsi foto pimpin tangan, undang sebak netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Nassier Wahab meninggal dunia selepas muntah darah

“Malam Selasa dia ada cakap dengan saya minta maaf kalau ada buat salah apa-apa dan masa itu kita pun tak sangka dia nak pergi.

“Sebabnya sudah menjadi rutin biasa kami ulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan dan tambah darah, tapi rupanya pagi Khamis merupakan hari terakhirnya.

“Kita reda dan terima ketentuan Allah... saya mewakili arwah memohon maaf kalau ada salah silap dan ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Abang Nassier,” katanya kepada mStar.

Allahyarham Nassier menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.45 pagi Khamis.

Jenazah Allahyarham Nassier selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Belah, Klang, Selangor kira-kira pukul 11.30 pagi Khamis.

Antara rakan artis yang turut hadir di majlis pengebumian tersebut ialah Datuk Seri Shah Rezza, Datuk M. Nasir, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zaiton Sameon, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Nassier atau nama sebenarnya Mohd Nasir Abd Wahab, 57, meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya kira-kira pukul 12.45 pagi Khamis.

Pada 1 Jun lalu, Nassier, 57, menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri akibat kanser gusi yang dihidapinya.

Akibat penyakit berkenaan, dia mendapatkan rawatan susulan dengan melakukan radioterapi dan kemoterapi di pusat perubatan yang sama.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.30 pagi Khamis.

Sementara itu, Fatimah memberitahu dia berada di sisi suaminya itu ketika saat-saat akhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Malam itu dia ditahan untuk tambah darah dan dalam pukul 11 malam semasa jururawat buat pemeriksaan mendapati dia suhu badannya sedikit tinggi.

“Lepas bagi ubat dia terus tidur... tapi selepas itu ada terbangun dan batuk-batuk sehingga nampak darah di bantal dan muntah teruk.

“Doktor beri bantuan kecemasan namun tiada sebarang tindak balas sehinggalah dia disahkan meninggal dunia,” ujarnya yang memaklumkan arwah sudah selesai menjalani rawatan kemoterapi kira-kira sebulan lalu.

Selain isteri, Nassier meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Intan Najihah yang kini berusia 22 tahun.

Nassier Wahab

Artikel Lain