PENGACARA dan pelakon Neelofa menjelaskan risalah berkaitan susu pisang yang menjadi salah faham dan mengelirukan pengguna sehingga menerima teguran daripada pakar bedah Dr Amalina. Neelofa berkata, risalah produk minuman yang diedarkan baru-baru ini tidak mendapat kelulusan daripada kilang atau agensi yang dilantik. ARTIKEL BERKAITAN: “Tak salah jual susu pisang, tetapi iklan itu agak mengelirukan” - Dr Amalina minta penjelasan Neelofa ‘overclaim’ khasiat produk minuman keluarannya “Ketika saya menubuhkan syarikat ini, kumpulan saya sangat kecil. Jadi urusan pemasaran, operasi dan penjenamaan diserahkan kepada pihak lain atau ‘outsource’. “Sudah tentu, jika saya tahu mengenai risalah ini, saya akan pastikan ia tidak diedarkan. “Ini kerana fokus syarikat (dalam menghasilkan Nilofa) bukan untuk merawat atau untuk kesihatan. Kami memberi tumpuan kepada produk gaya hidup,” katanya. Neelofa buat penjelasan di laman sosial. Pada Selasa lalu, Dr Amalina menerusi Twitter peribadinya meminta penjelasan usahawan itu tentang khasiat susu pisang yang dianggap keterlaluan dipromosikan. Dalam pada itu, Neelofa yang membuat penjelasan di laman sosial Nilofa.hq berkata, pihaknya akan mengambil langkah berhati-hati sebelum memuat naik perkongsian atau kenyataan di media sosial. Selain itu, Neelofa berkata, pihaknya akan memperkemaskan lagi bungkusan susu pisang selepas susu itu diperiksa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pihaknya juga akan menghantar beberapa dokument yang diminta KKM bagi memastikan produk itu dipromosikan sebagai susu berperisa pisang. “Kementerian sudah memeriksa kilang dan gudang. Selepas membuat penelitian, alhamdulillah, kami perlu menambah baik pembungkusan produk menjadi susu berperisa pisang. “Kami sudah menghantar apa yang diperlukan untuk perkara ini diperbetulkan bagi pengeluaran akan datang,” ujarnya. Neelofa melancarkan susu pisang jenama Nilofa yang mencetuskan kontroversi apabila didakwa khasiat produk itu dipromosikan keterlaluan termasuk dikatakan mengandungi kadar gula tinggi. Neelofa berkata, tiada tindakan diambil kementerian terhadap isu ‘over claim’ atau dakwaan keterlaluan membabitkan kelebihan produk itu.