suria

Wann akhirnya tersingkir, Noorshila pula terkandas kerana duet bersama Ifa Raziah tak harmoni... 6 peserta ke final GV6

Wann dan Noorshila Amin tersingkir di pentas separuh akhir GV6.

PERJUANGAN dua peserta iaitu Wann dan Noorshila Amin berakhir apabila diumumkan gagal untuk bertanding ke peringkat final program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) minggu hadapan.

Dua peserta itu menerima markah tercorot ketika membuat persembahan pada minggu ke 10 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nampak pelik dan banyak yang sumbang” - Wann terselamat buat kali kedua, netizen mula muak dengan 'game' GV6

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan lagi! GV6 dilanjutkan selama 11 minggu, tiada penyingkiran minggu ketujuh

Manakala enam peserta yang layak ke final terdiri daripada Hady Mirza, Naqiu Boboy, One Nation Emcees, Nurfatima, Jatt dan Sham Visa.

Pada pertandingan minggu ini, kesemua peserta diberi dua tugasan menyanyikan lagu solo dan duet bersama artis jemputan.

Sementara itu, juri profesional, Hetty Koes Endang yang diminta mengulas penyingkiran Wann menyifatkan peserta itu memberi persembahan kurang memuaskan.

Kata Hatty, Wann kurang versatil dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada minggu lalu serta gagal memberi persembahan secara menyeluruh.

"Kami inginkan sesuatu yang lebih daripada kamu, apa kehebatan kamu sehingga dapat masuk ke peringkat ini?

"Persembahan masih mendatar malah kurang versatil,” kata Hetty

Enam peserta layak ke final GV6 minggu hadapan.


Manakala, Noorshila pula gagal menyampaikan lagu Dialah Di Hati bersama Ifa Raziah secara harmoni malah kelihatan seperti bersaing dengan pasangannya itu.

"Lagu duet yang kamu nyanyikan kelihatan seperti segmen battle song, justeru ia kedengaran tidak harmoni.

"Malah lagu solo yang kamu sampaikan sedikit terganggu apabila tempo nyanyian sedikit lari daripada sepatutnya,” kata Datuk Ramli MS.

Manakala Hady Mirza mengungguli carta dengan 82 peratus markah, Naqiu (77 peratus) dan One Nation Emcess (71 peratus).

Nurfatima pula berada di tangga keempat dengan 67 peratus, Jatt (61 peratus) dan Sham Visa (60 peratus).

Kesemua peserta diadili oleh dua orang juri profesional iaitu Datuk Ramli dan MS Hetty Koes Endang manakala penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir tampil sebagai juri jemputan.

Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini menjadi milik One Nation Emcees manakala Anugerah Bintang Cili Padi pula dimenangi oleh Hady Mirza.

Dalam pada itu, Penyanyi kumpulan Flybaits iaitu Fredo menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada penaja utama iaitu Farm Fresh dan Astro.

GV6 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Gegar Vaganza musim keenam bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala naib juara bakal membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 buat pemenang tempat ketiga.

Artikel Lain