suria

Pemain bass kumpulan Alleycats, Frank Ong meninggal dunia akibat kanser paru-paru

Frank meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

PEMAIN bass kumpulan Alleycats, Frank Ong meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 pagi, Khamis akibat kanser paru-paru tahap empat.

Menerusi laporan Berita Harian, rakan baiknya iaitu Farid Yahya berkata Frank atau nama Islamnya, Abdul Rashid Abdullah, 54, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Raudhatul Sakinah, Gombak, pada hari yang sama.

"Alhamdulillah, segala urusan pengebumian dipermudahkan. Allahyarham selamat disemadikan kira-kira pukul 2.30 petang.

"Sebelum itu solat jenazah diadakan di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju," katanya.

Dalam pada itu, Farid memberitahu Allahyarham disahkan mengidap kanser pada Oktober lalu namun kesihatan arwah mula merosot sejak akhir-akhir ini.

Menurut Farid, dia tidak menyangka rakan yang dikenali sejak 20 tahun lalu pergi begitu cepat memandangkan penyakit yang dialaminya baru dikesan dua bulan lalu.

"Memang sebelum ini Allahyarham merokok, tetapi sudah lebih 10 tahun berhenti. Tidak sangka begitu cepat Allahyarham pergi meninggalkan semua.

"Doakan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri iaitu Nor Askiah Abdul Wahab, 66, dan tiga anak iaitu Jas Ong, 45; Hariz, 28; serta Myra, 24.

Frank Ong, Alleycats

Artikel Lain