ADIK kepada penyampai radio Suria FM, Ajak (Shiro) yang dikenali sebagai Fitri cedera parah selepas sebuah silinder gas yang digunakan untuk kerja-kerja kimpalan meletup secara tiba-tiba. Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 34, memberitahu kemalangan tersebut berlaku ketika adiknya sedang bertugas. ARTIKEL BERKAITAN: Tamat kontrak hos Melodi, Ajak Shiro kini lengkapkan Team Pagi Suria di Suria FM Ajak juga memohon maaf kepada ahli kumpulannya, Rare iaitu Ropie dan Pakya kerana terpaksa meninggalkan latihan untuk malam final Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019. "Besar dugaan saya... adik saya kemalangan tadi masa kerja. Saya tinggalkan sesi latihan untuk final Maharaja Lawak. Ajak berkongsi mengenai adiknya di Instagram. "Saya terpaksa uruskan adik saya dan sekarang saya masih di hospital. Saya terpaksa tinggalkan Pak Ya dan abang Ropi berdua kat sana. "Terima kasih Pak Ya dan abang Ropi sebab faham saya. Kita cuba buat yang terbaik esok (Jumaat)," tulisnya pada Khamis. Ajak memuat naik paparan skrin perbualan dengan dua ahli kumpulannya yang mendoakan keadaan adik pelawak itu. Menurut laporan Astro Gempak, Ajak berkata adiknya mengalami melecur tahap dua dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Besar dugaan saya... adik saya kemalangan tadi masa kerja. Saya tinggalkan sesi latihan untuk final Maharaja Lawak. AJAK SHIRO PENYAMPAI RADIO SURIA FM, PELAWAK Bagaimanapun, pelawak itu belum mengetahui punca kemalangan tersebut berlaku kerana adiknya masih dalam keadaan trauma dan terkejut. Dalam pada itu, salah seorang rakan selebriti iaitu pelawak Achey (Bocey) menerusi Instagramnya turut mendoakan agar adik Ajak kembali sembuh. "Assalamualaikum... dengan harapan anda yang bersama saya dan melihat posting ini, sama-sama kita doakan adik sahabat saya Ajak Shiro kemalangan semasa bekerja. "Gas oxy-welding meletup secara tiba-tiba... dugaan final untuk sahabat saya. Sama-sama kita doakan semua agar adiknya kembali sembuh," katanya.