PELAKON Farahdhiya reda dengan pemergian bapanya, Mohd Amin Zubir, 68, yang meninggal dunia pada pukul 11.55 pagi, Khamis. Arwah meninggal dunia akibat masalah Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) iaitu penyakit paru-paru yang mempengaruhi pernafasannya kerana tabiat merokok sejak lima tahun lalu. Menurut laporan Berita Harian, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati itu berkata bapanya berada dalam keadaan baik sebelum menghembuskan nafas terakhir. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terbuka hati selepas lihat cabaran di laman sosial” - Farahdhiya ayu berhijab pada Ramadan “Selepas sarapan, dia mengalami sesak nafas. Saya terus menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Namun, sebaik sahaja tiba di hospital, bapa sudah tiada lagi. “Sepanjang arwah menghidap penyakit berkenaan, dia sering keluar masuk hospital. Farahdhiya akui rapat dengan arwah bapanya. “Saya reda dengan pemergiannya kerana selama ini, saya jarang berenggang dengannya. Dialah nyawa saya. Setiap pagi, memang dialah orang pertama yang saya cari di bilik tidurnya. Sayalah juga yang akan bertanya jika dia hendak makan atau apa sahaja kemahuannya,” katanya. Sebelum itu, menerusi laman Instagram beberapa rakan artis berkongsi berita sedih itu antaranya penyanyi Haiza Hanafi dan pelakon Datin Rabecca Nur Al Islam. Terdahulu pada Ogos 2016, Allahyarham Mohd Amin pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD). Sebulan kemudian, bapanya sekali lagi dikejarkan ke hospital kerana berdepan masalah paru-paru atau Pneumothorax.