suria

“Kisah sayu pemergian anak Ali hanya 30 saat terakhir sebagai twist cerita” - Puteh bukan raih simpati untuk jadi juara MLM2019

Kumpulan Puteh menjuari Maharaja Lawak Mega 2019.

PELAWAK Ali daripada kumpulan Puteh berkata dia tidak bermaksud menjadikan kisah pemergian anak tersayang sebagai bahan untuk meraih simpati juri dan penonton semasa persembahan akhir Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019).

Menurut Ali, sepanjang persembahan di pentas akhir itu, mereka masih mengekalkan elemen komedi dan kisah anaknya itu hanya diselitkan pada 30 saat terakhir sebagai twist kepada jalan cerita.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tidurlah sayang... rehatlah sayang” - Bayi perempuan Ali Puteh meninggal dunia

"Jalan cerita ini kita dah bincang bersama ahli kumpulan dan saya sendiri sebolehnya tak nak kaitkan kehilangan anak di atas pentas ini.

Anak perempuan Ali meninggal dunia pada 26 November tahun lalu.

"Anak saya meninggal semasa minggu kelima saya di pentas MLM2019, saya memang dah pesan dengan ahli lain agar isu anak ini tidak dijadikan bahan kerana kita berada di pentas komedi dan tak nak nampak klise kalau main isu begini.

"Minggu akhir kita masih kekalkan elemen komedi sebagai jalan cerita cuma 30 saat terakhir kita beri kesinambungan cerita mengenai kenduri tahlil untuk anak. Kita bagi lawak dulu dan hujung cerita barulah orang tahu ia kenduri arwah," katanya kepada mStar.

Kumpulan Puteh yang dianggotai oleh Ali, Mamak dan Man ditemui sejurus kemenangan mereka sebagai juara MLM2019 yang diadakan di Royal Theater, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Pada 26 November tahun lalu, anak kedua Ali iaitu Sharifah Nur Ainul Mardhiah meninggal dunia setelah tiga bulan bertarung nyawa akibat masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.

Kalau ada netizen yang bercakap tentang jalan cerita itu saya hanya mampu tengok dan baca sahaja kerana awal-awal lagi bukan elemen sedih itu yang kita tekankan.

ALI PUTEH

PELAWAK

Anak perempuannya yang berusia tiga bulan itu menghembuskan nafas terakhir ketika Ali masih lagi bersaing di pentas MLM2019.

Sementara itu, Ali berkata dia menerima apa jua komen penonton termasuklah netizen yang berasakan twist pada jalan cerita itu hanya sekadar untuk meraih simpati orang ramai.

"Sejujurnya isteri saya sendiri tak tahu idea saya ini dan memang saya tak beritahu sebab takut menganggu persembahan dan emosinya yang tahu hanya pihak produksi.

"Kalau ada netizen yang bercakap tentang jalan cerita itu saya hanya mampu tengok dan baca sahaja kerana awal-awal lagi bukan elemen sedih itu yang kita tekankan.

"Cuma penghujung itu kita selitkan tentang anak, tak apalah kalau orang nak kata apa pun... cuma saya nak tanya jika hal yang sama terjadi pada anda, apa anda akan lakukan," ujarnya.

Persembahan kedua kumpulan Puteh bertemakan Muzikal berkisahkan mengenai persiapan kenduri dan majlis rewang.

Kumpulan Zero mendapat tempat kedua.

Bagaimanapun, ia menyentuh emosi juri dan penonton apabila penghujungnya Ali memberitahu persiapan majlis itu adalah kenduri tahlil untuk anaknya yang telah meninggal dunia.

Persembahan penuh bermakna itu mengangkat Puteh sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM500,000.

Manakala Zero yang dianggotai oleh Atu, Syiful dan Syarif terpaksa berpuas hati ditempat kedua dan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik Bocey dan menerima hadiah kemenangan sebanyak RM150,000.

Kumpulan JBorn dan Rare masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima turut membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Ali, Puteh, Maharaja lawak Mega 2019

Artikel Lain