suria

Impian Zynakal hancur disebabkan kesilapan sendiri - “Penat saya mendaki tapi jatuh semula”

Zynakal menyesal dengan apa yang terjadi pada dirinya pada tahun lalu.

GARA-GARA melakukan kesilapan pada tahun lalu, penyanyi Zynakal akui impian yang hampir dikecapi hancur disebabkan kesalahan diri sendiri.

Menurut Zynakal, 22, dia tidak kisah dengan pandangan negatif netizen kerana fokus utama kini hanya ingin membersihkan nama dan menjadi lebih baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Cekik pekerja stesen minyak, Zynakal disahkan hidap bipolar mania kini dirawat di HKL

"Memang saya sangat menyesal dengan kesilapan saya lakukan tahun lalu. Ketika itu, saya cuba kejar impian tapi akhirnya semuanya hancur disebabkan kesalahan diri sendiri.

Zynakal bangkit dengan semangat baru.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak mahu perkara itu terjadi. Yela... penat saya mendaki tapi selepas itu jatuh tapi saya mengaku semuanya berpunca pada diri saya sendiri.

"Insya-Allah, tahun 2020 saya akan cuba membersihkan nama dan mahu jadi yang terbaik. Mungkin masih ada netizen yang pandang negatif pada saya tapi tak apa, masing-masing ada hak menyuarakan pandangan," katanya kepada mStar.

Zynakal ditemui ketika sidang media memperlancaran lagu terbaharunya bersama Yonnyboii berjudul Sakit di Metropolitan Square, Damansara Perdana, Petaling Jaya pada Jumaat.

Pada Ogos tahun lalu, Zynakal berhadapan masalah tekanan mental hingga bertindak agresif mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Saya tidak pernah mengambil barang terlarang dan ketika kejadian itu berlaku, saya bukan bawah pengaruh dadah seperti didakwa.

ZYNAKAL

PENYANYI RAP

Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sekitar September tahun lalu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Terbang itu disahkan menghidap bipolar mania.

Menerusi segmen mStar Ceritera pada 16 Oktober 2019, Zynakal menceritakan kembali pengalamannya ketika menerima rawatan di wad psikiatri, Hospital Kuala Lumpur selama hampir sebulan.

Pemilik nama Muhammad Raziq Rosli ini juga bercerita mengenai kisah silamnya yang dipercayai menjadi punca kepada masalah tekanan perasaan yang dipendamnya selama ini.

Dalam pada itu, Zynakal menegaskan penyakit yang dialaminya itu bukan berpunca daripada pengambilan barang terlarang atau dadah.

Zynakal tampil lagu duet bersama Yonnyboii berjudul Sakit.

Namun ia disebabkan dia terlalu kuat bekerja, tidak mendapat rehat secukupnya dan tidak menjaga pemakanan.

"Saya tidak pernah mengambil barang terlarang dan ketika kejadian itu berlaku, saya bukan pengaruh dadah seperti yang didakwa.

"Apa yang terjadi di luar kawalan dan saya sendiri tidak menyedari perbuatan saya itu. Penyakit bipolar mania yang saya hadapi ini berpunca daripada tidak cukup rehat dan tak jaga pemakanan.

"Selain itu, kerja terlalu kuat sampai tak ada waktu untuk juga antara salah satu punca saya berhadapan dengan penyakit itu. Alhamdulillah, sekarang dah okey tapi masih on medication dan perlu berjumpa doktor," ujarnya.

Zynakal, Yonnyboii

Artikel Lain