suria

Kacak! Elly Mazlein akhirnya dedah wajah bakal suami pada malam berinai

Elly perkenalkan bakal suaminya pada majlis malam berinai. Foto: SHAAHRI CHEMAT.

SELEPAS hampir setahun berteka-teki, pelakon Elly Mazlein akhirnya mendedahkan wajah bakal suaminya iaitu Mohamad Azlan Che Nuh di majlis malam berinai yang berlangsung pada malam Jumaat.

Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, dan pasangannya memilih persalinan busana songket berwarna biru yang direka oleh pereka fesyen Jimmy Couture dan ditatarias oleh Gabriel Padan.

ARTIKEL BERKAITAN:  Dulu nikah di surau, kali ini Kak Lina Pom Pom nak kahwin meriah... “Kebetulan bakal suami pun tak pernah berkahwin”

Mohammad Azlan yang juga seorang guru sekolah segak berbaju Melayu songket masuk ke dalam dewan diiringi alunan kompang lima beradik.

Elly anggun berbaju songket biru sedondon bakal suami.

Majlis yang bertemakan Cik Siti Wan Kembang dengan menggunakan warna merah dan emas itu diadakan di Dewan Sri Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Malam yang penuh dengan adat tradisi itu dihadiri 150 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, rakan terdekat dan media.

Elly dan pasangan yang berasal dari Kelantan serta para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan silat dan tarian tradisional.

Elly bersama bakal suami dan anaknya Sefhia.

Pasangan mempelai sama cantik sama padan itu akan disatukan sebagai suami isteri di lokasi yang sama pada Sabtu dan akan disusuli dengan majlis resepsi pada hari yang sama.

Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun bercerai pada 15 Oktober 2015.

Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata Putri Sara Sefhia yang kini berusia empat tahun.

Sebelum ini, Elly mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

Elly Mazlein

Artikel Lain