AKTOR Fikry Ibrahim masih belum terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat kerana mempunyai misi lain buat masa ini. Fikry, 26, berkata, bersempena kedatangan tahun 2020, dia mahu memberi fokus bukan sahaja kepada karier seni namun tugas baharunya sebagai pengasas bersama aplikasi penghantaran makanan pertama buatan Malaysia iaitu Go Eat. "Siapa yang tidak mahu berkahwin dan membina sebuah keluarga bahagia? Tetapi soal cinta dan mendirikan rumah tangga ini saya tangguh dahulu kerana ingin beri tumpuan kepada karier dan perniagaan. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya rider... peniaga kecil, akak-akak pandai masak mampu lebih ‘masyuk’ dengan Go Eat "Tambahan pula sekarang saya masih muda dan belum mempunyai teman wanita... Jadi adalah lebih baik saya stabilkan karier dan perniagaan terlebih dahulu," katanya kepada mStar. Fikry mahu mengukuhkan kedudukan dalam bidang seni sebelum berkahwin. Fikry ditemui pada majlis pelancaran Go Eat yang diadakan di Damansara pada Sabtu lalu. Aplikasi itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan tetapi masakan home cook daripada vendor berdaftar. Masih bercakap tentang soal jodoh, Fikry memberitahu dia menyasarkan untuk menamatkan zaman solo sebelum usianya mencecah 30 tahun. Dalam tempoh berbaki empat tahun ini bekas juara program Lawak Solo ini berkata dia boleh memajukan diri sebelum benar-benar bersedia melangkah ke alam perkahwinan. Sementara itu, bercakap mengenai Go Eat, Fikry berharap dalam tempoh setahun ini, aplikasi itu dapat menjadi jenama pilihan rakyat Malaysia. Fikry bersama pengasas Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman. Selain itu kata Fikry, harapan utamanya adalah untuk melihat agar aplikasi berkenaan dapat membantu golongan muda serta ibu tunggal menjana pendapatan tambahan. "Selain perkhidmatan penghantaran makanan daripada restoran, Go Eat dihasilkan selepas melihat ramai peniaga menjalankan perniagaan dari rumah namun tidak mempunyai platform bagi mengembangkan perniagaan mereka. "Go Eat dapat membantu golongan ini dengan memasarkan produk mereka dalam aplikasi ini dan orang ramai boleh membuat tempahan," katanya. Aplikasi yang diterajui bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman itu sudah memulakan operasi di Cyberjaya dan Lembah Klang sebelum bergerak ke seluruh Malaysia tidak lama lagi.