suria

“Nak menangis rasanya… ini pengajaran buat kami” - Erma Fatima terlepas penerbangan ke Makkah kerana solat

Erma Fatima dan dua anaknya terlepas penerbangan kerana mengejar waktu menunaikan solat.

GARA-GARA mengejar waktu untuk menunaikan solat, pelakon Erma Fatima dan dua anak perempuannya terlepas penerbangan ke Tanah Suci Makkah pada Rabu.

Erma, 52, berkata, pada awalnya staf kaunter yang bertugas memaklumkan dia masih mempunyai masa untuk bersolat, namun selepas selesai bersolat pintu masuk sudah ditutup dan mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.

"Kali ini pergi umrah aku siap packing awal sebab bawa dua anak aku ni, sampai lapangan terbang daftar masuk selesai pukul 2.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku pakai bukan kerana taasub agama atau fesyen” - Erma Fatima kini berpurdah?

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia main pesan je handphone harga RM10,000 ini untuk aku!” - Baim Wong dapat ‘baby’, Erma Fatima yang terima hadiah

"Kami masuk lounge dan tanya sempat lagi tak nak solat? Orang kaunter tu jawab sempat 10 minit, kami pun solat!

"Habis solat terus ke gate, tak ada singgah mana pun, kami sampai pukul 3.10 petang, gate dah tutup mereka kata dia orang tengah nak keluarkan beg aku, penerbangan (sepatutnya) pukul 3.25 petang," katanya.

Erma berkongsi pengalaman terlepas penerbangan di Instagram miliknya.

Pelakon drama Mak Cun ini berkongsi kejadian menyedihkan itu menerusi Instagram miliknya pada Khamis.

Bersama kapsyen tersebut Erma turut memuat naik rakaman video dia bersama dua anaknya, Citra, 18 dan Nurain, 13, ketika mendaftar masuk di kaunter penerbangan.

Meskipun bersedih dengan apa yang berlaku, Erma menganggap ia sebagai pengajaran supaya tidak melengah-lengahkan waktu untuk solat.

Erma bawa dua anak angkatnya, Citra dan Nurain tunaikan umrah.

Malah, dia reda dengan apa yang berlaku dan akan menguruskan masa dengan lebih baik.

"Nak menangis rasanya, mata anak-anak aku dah merah, yang pertama masuk dalam kepala aku adalah selama ini aku banyak melengahkan waktu solat.

"Tapi hari ini aku kejar waktu nak solat tapi Allah terlepaskan penerbangan aku. Aku reda... cuma nak tanya kenapa orang kat kaunter lounge penerbangan kata sempat kononnya?

"Insya-Allah... pengajaran untuk kami, uruskan masa anda dengan baik," ujarnya.

Erma Fatima, Umrah

Artikel Lain