suria

Fazura terkejut... sangka kematian Ashraf Sinclair berita palsu - “Saya perlu terima kenyataan”

Fazura terkejut mengetahui sahabat baiknya itu pergi buat selama-lamanya.

BERITA pemergian pelakon Ashraf Sinclair benar-benar mengejutkan teman baiknya iaitu Nur Fazura.

Fazura berkata awalnya dia menyangka khabar duka yang diterima itu merupakan berita palsu sehinggalah disahkan oleh pengurus Ashraf.

"Beberapa minit dapat berita dari Indonesia pagi tu, saya terus ingat ianya berita palsu, tak mungkin sehinggalah saya dimaklumkan ia telah disahkan oleh Doddy (pengurus Bunga).

ARTIKEL BERKAITAN: “Beruntung pergi dalam tidur, kami masih tak percaya!” - Rakan artis, peminat banjiri Instagram Ashraf Sinclair

ARTIKEL BERKAITAN: Salah sebut nama Bunga Cinta Lestari detik perkenalan BCL, Ashraf... ini 10 fakta kisah cinta sejati mereka

"Saya mengalirkan air mata dan semua memori bersama Ash (Ashraf) bermain di mata... seharian saya perlu menerima kenyataan kamu sudah pergi," katanya.

Fazura berkongsi luahan sedih itu menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Fazura berkongsi luahan hatinya mengenai Ashraf di Instagram.

Pada Selasa lalu, Ashraf Sinclair menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung.

Sementara itu, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini turut mengimbau kembali kenangan membina kerjaya bersama aktor tersebut dalam filem Gol & Gincu.

"Kita membesar bersama di awal karier kita. Penggambaran filem Gol & Gincu mengubah kita menjadi keluarga.

"Seterusnya, kita menjadi rakan niaga kemudian dia bertemu cintanya dan memutuskan untuk berkahwin," ujarnya.

Dalam pada itu, Fazura menyifatkan arwah terlalu mencintai keluarga dan suka menggembirakan orang sekeliling.

Ashraf bersama isteri, Bunga Citra Lestari dan anak mereka, Noah Sinclair.

Malah, dia masih teringat reaksi teruja Ashraf ketika di awal perkenalan dengan isteri yang merupakan penyanyi dari Indonesia, Bunga Citra Lestari.

"Saya tak akan lupa cahaya di matanya apabila dia bercerita mengenai Bunga, bagaimana dia terlalu mencintai dan seronok untuk melamar.

"Ashraf adalah insan berhati mulia yang mempunyai empati terhadap insan lain dan aura positif yang mampu menerangi segenap ruang.

"Mengingati Ashraf seorang individu yang suka ketawa, menyayangi keluarga, kawan, kerja, membantu orang lain dan buat orang sekeliling gembira. Saya akan merinduinya!," katanya.

Terdahulu, Fazura dan Ashraf dipertemukan dalam industri lakonan menerusi filem Gol & Gincu yang ditayangkan pada tahun 2005.

Nur Fazura, Ashraf Sinclair

Artikel Lain