suria

“Isu atau masalah antara kami tidak perlu campur dengan kerja” - Krisis dengan A. Aida, Mas Khan tetap promosi filem 'Ratu Kala Jengking'

Mas enggan mencampur aduk urusan kerja dengan masalah peribadinya dengan A. Aida.

MESKIPUN kemelut dengan produser Datuk A. Aida belum selesai, pelakon Mas Khan tetap menjalankan tugas mempromosikan filem lakonannya, Ratu Kala Jengking Puteri Keranda di Instagram.

Menurut Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 26, dia mahu bersikap profesional dan enggan mencampur aduk urusan kerja dengan masalah peribadi antara mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Lesap RM200,000… Mas Khan dilarang berlakon dalam produksi A. Aida

"Kerja tetap kerja. Sebagai salah seorang pelakon dalam filem tersebut, ini adalah tanggungjawab saya untuk mempromosikan hasil lakonan saya juga.

Mas tetap promosikan filem lakonannya di Instagram.

"Bila perkara yang melibatkan soal kerja, emosi kita perlu disimpan di rumah. Saya hanya mahu bersikap secara profesional sahaja.

"Apa sahaja isu atau masalah antara kami itu, tidak perlu dicampur aduk dalam soal kerja," kata Mas Khan kepada mStar.

Mas Khan diminta mengulas mengenai beberapa foto dan status berkenaan mempromosikan filem terbitan A. Aida itu di lama sosialnya.

Menerusi laporan mStar pada 18 Februari lalu, A. Aida menegaskan Mas Khan dilarang dan tidak akan mendapat peluang lagi untuk berlakon dalam filem atau drama terbitannya.

Bila perkara yang melibatkan soal kerja, emosi kita perlu disimpan di rumah.

MAS KHAN

PELAKON

Justeru itu, A. Aida turut memberitahu aktor tersebut tidak diundang untuk menyertai sebarang promosi termasuk tayangan perdana filem Ratu Kala Jengking Puteri Keranda yang diadakan baru-baru ini.

Larangan itu dibuat berikutan dia sudah hilang kepercayaan terhadap Mas Khan kerana dipercayai menjadi suspek berhubung kehilangan wang pelaburannya berjumlah kira-kira RM200,000.

Dalam pada itu, Mas Khan berkata dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu yang berlaku antara mereka berdua kerana tidak mahu kenyataannya disalah tafsir.

A. Aida bersama barisan pelakon filem Ratu Kala Jengking Puteri Keranda.

Biarpun tidak akan berpeluang berlakon dalam produksi A. Aida namun Mas Khan masih diberikan rezeki lakonan daripada pihak produksi lain.

"Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan berkenaan isu yang terjadi antara saya dan dia sebab ia akan mengeruhkan keadaan lagi.

"Alhamdulillah, saya masih lagi menerima beberapa tawaran berlakon dengan produksi lain seperti JS Pictures Sdn Bhd," ujarnya.

Artikel Lain