MEMILIKI zuriat dan cahaya mata merupakan salah satu nikmat terindah dalam kehidupan setiap pasangan manusia. Anak yang dipelihara sejak kecil ini bukan sahaja dapat menyerikan kehidupan sesebuah rumah tangga, malah menjadi kunci rezeki kepada keluarga. Justeru itu, tidak hairan jika ada golongan selebriti turut mengambil peluang memelihara anak angkat sejak kecil dan memberikan mereka kasih sayang secukupnya. Malah, ada juga yang masih bujang dan belum berkahwin turut memiliki anak angkat. Kali ini mStar sediakan 7 selebriti yang mempunyai anak angkat! 1. Hael Husaini Penyanyi Hael Husaini mengambil anak angkat perempuan diberi nama Halena Hael yang kini berusia tiga tahun. Hael berkata dia mahu Halena membesar seperti kanak-kanak lain dan menasihati orang ramai yang mempunyai hasrat untuk mengambil anak angkat tidak ragu-ragu meneruskan niat mereka itu. Kasih sayang yang ditunjukkan Hael terhadap anak angkatnya itu boleh disaksikan oleh peminat menerusi Instagram khas yang diwujudkan untuk Halena. 2. Achey Pasangan pelawak Achey dan isteri Nor Hasanah mengambil anak angkat yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah pada Mei 2018. Achey pernah berkata kehadiran bayi perempuan yang kini berusia dua tahun itu merupakan hadiah terindah daripada Allah. Pasangan ini juga dilihat begitu menyayangi Tiara dan mereka kerap berkongsi foto dan video anaknya itu di laman Instagram. Memang berubah kehidupan Achey dan isteri! Semakin bahagia dengan adanya Tiara. 3. Datin Seri Umie Aida Pada Julai tahun lalu, Datin Seri Umie Aida berkongsi berita gembira tentang kehadiran seorang bayi perempuan comel menjadi anak angkatnya. Bintang filem Dukun itu telah berkongsi foto pertama bayi tersebut yang diberi nama Aisya Humaira. Kehadiran bayi itu dianggap rezeki tidak ternilai daripada Allah SWT, sekali gus menjadikan usia 10 tahun perkahwinan Umie dan suami lebih bermakna. Sebelum ini, Umie sudah memiliki dua anak angkat lelaki iaitu Mohd Daniel Firdaus, 26, dan Mohd Dzulhelmy, 25, yang berada di bawah jagaannya semenjak kedua-duanya masih kecil. 4. Stacy Semua orang sudah mengetahui penyanyi Stacy Anam memiliki seorang anak angkat yang dipelihara sejak kecil iaitu Bella Valentina atau gelaran manjanya Beya. Kanak-kanak itu kini berusia lapan tahun dan sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Malah, Stacy dan suami Akim Ahmad memberikan kasih sayang secukupnya terhadap Beya dan keluarga ini bertambah bahagia dengan kehadiran Eshaal. 5. Erma Fatima Penerbit serta pelakon Erma Fatima mempunyai lima orang anak angkat yang dipelihara sejak kecil. Lima orang anak angkatnya itu ialah Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 17 dan Nurain, 12. Menerusi Instagram, Erma sering berkongsi aktiviti bersama mereka dan kerap menerima pujian peminat yang mengagumi cara Erma melayan keluarga. 6. Abby Abadi Tidak sampai sebulan mengambil seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Muhammad Daiyan Fayyadh, pelakon Abby Abadi mendedahkan dia menerima pula bayi perempuan. Abby memberitahu bayi comel itu diberi nama Maisara Dayana Fathia dan menyifatkan ia sebagai rezeki daripada Allah. Abby dan suami Faizal Zakaria menerima kehadiran dua orang anak angkat pada tahun 2018. Meskipun sudah memiliki tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu dengan aktor Norman Hakim. Namun, Abby tetap memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada dua orang anak angkat mereka ini. 7. Misha Omar Penyanyi popular Misha Omar juga turut mengambil anak angkat lelaki pada tahun 2007 yang diberi nama Mohd Adam Emir. Selepas itu, Misha mengambil seorang lagi anak angkat perempuan bernama Humaira Lateefa. Setelah berkahwin dengan seorang juruterbang, Misha dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Idris Ezzwa.