suria

Ezad Lazim tunai impian isteri nak pakai gaun pengantin - “Tahun pertama perkahwinan saya buat hal...”

Ezad dan isteri akan mengadakan persandingan kali kedua bersempena ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka pada 29 Mac ini di White Ballroom Petaling Jaya, Selangor.

PENYANYI Ezad Lazim berkata sepanjang tujuh tahun melayari rumah tangga, dia dan isteri, Nor Azeana Ramli pernah berdepan dengan ujian dan dugaan dalam hubungan mereka.

Menurut Ezad, 40, tahun pertama perkahwinan merupakan ujian terbesar yang dilalui oleh mereka sehingga hampir membawa kepada perceraian.

ARTIKEL BERKAITAN: Ezad Lazim Terpaksa Pilih Kawan Bimbang Terjebak Dadah

“Perkenalan saya dengan isteri diatur keluarga dan kami bercinta selepas berkahwin... awal perkahwinan lagi kami dah diuji.

“Tahun pertama saya buat hal kena tangkap kerana terbabit kes dadah, masa tu hubungan kami ada krisis sikit, isteri mula menjauh tapi kami kuatkan diri sebab anak.

“Alhamdulillah sekarang ni kehidupan kami dah okay dan waktu mencabar dahulu dah terjadi. Isteri menerima saya dan tetap setia... gaduh-gaduh biasa tu normallah kan?,” katanya kepada mStar.

Ezad ditemui semasa sidang preview buffer Ramadan 2020 di Sri Taming Hall, Seri Kembangan, Selangor pada Ahad.

Ezad berkahwin dengan Nor pada 30 Mac 2013 di Kedah.

Pasangan dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Puteri Rania Kiesha dan Putera Muhammad Darwish.

Ezad berkata kejayaannya pada hari ini adalah kerana sokongan isteri. 

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Exists ini turut menasihati pasangan muda yang baru berkahwin supaya bersabar dengan ujian dalam rumah tangga.

“Kami pun bukan lama sangat kahwin tapi kalau ada masalah cuba selesaikan dengan baik dan matang.

“Kalau ikutkan pengalaman orang sekeliling pun ramai yang ada masalah dan berakhir dengan perceraian, satu yang menyedihkan.

“Ingat balik isteri, anak-anak dan apa yang kita dah mulakan dulu. Malah saya mengaku kejayaan saya hari ini adalah atas sokongan isteri,” ujarnya.

Kami pun bukan lama sangat kahwin tapi kalau ada masalah cuba selesaikan dengan baik dan matang.

EZAD LAZIM

PENYANYI

Sementara itu, pasangan ini memaklumkan akan mengadakan persandingan kali kedua bersempena ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka pada 29 Mac ini di White Ballroom Petaling Jaya, Selangor.

Ia juga merupakan sebahagian gimik pelancaran perniagaan majlis perkahwinan yang akan diusahakan oleh syarikatnya EZ Ventures.

“Dulu isteri teringin nak bersanding pakai gaun, iyelah semasa kami berkahwin dulu kecil-kecil, kawan pun tak jemput... jadi kali ini dapatlah realisasikan impiannya itu.

“Bersanding semula ini sebahagian gimik sempena ulang tahun perkahwinan kami dan saya juga baru menceburi bidang perniagaan dan membuka dewan perkahwinan di Petaling Jaya.

“Isteri pula ada pengalaman dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan acara. Harap segalanya berjalan lancar,” ujarnya.

Ezad Lazim, isteri, gaun pengantin

Artikel Lain