suria

Nor Hidayah ada pesanan untuk wanita senasib - “Jika ditakdirkan pasangan pergi dulu, usahlah meraung tapi berdoa”

Genap sebulan pemergian pelawak Abam Bocey.

GENAP sebulan pemergian Abam Bocey, kehilangan pelawak itu masih dirasai oleh peminat dan orang sekeliling.

Sudah pasti antara yang paling terkesan ialah ahli keluarga dan isterinya, Nor Hidayah yang membuat luahan perasaan di laman Instagram.

Menurut Hidayah, dia reda dengan pemergian suami tercinta dan sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ali Puteh terima 700,000 mesej kecaman, tak boleh tidur malam - “Saya mimpi bertemu arwah Abam”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada penjelasan, beri ruang Nor Hidayah lalui tempoh edah - Abang

"Setiap yang hidup, pasti akan mati. Jika ditakdirkan pasangan kita meninggal dunia terlebih dahulu daripada kita, usahlah meraung tetapi berdoalah kepada Allah.

"Buat Allahyarham suamiku yang tercinta hari ni genap sebulan abang meninggalkan kami semua... Al-Fatihah Syed Umar Mokhtar," katanya menerusi Instagram pada pagi Selasa.

Nor Hidayah mengendalikan akaun Instagram milik arwah Abam, @abam_bocik

Perkongsian Hidayah itu mengundang sebak dalam kalangan pengikut termasuklah rakan artis yang memintanya terus bersabar dengan ujian kehilangan itu.

"Handsome arwah... semoga tenang sahabat di sana ditaman syurga," komen pelakon Sharnaaz.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Masa berjalan tapi kita sebagai manusia harus teruskan hidup. Doakan yang baik-baik," tulis salah seorang pengikut pula.

Gambar kenangan arwah Abam bersama isteri dan ibu, Sabariah.

Sementara itu, adik kepada abam iaitu Ali Puteh turut memuat naik lukisan menggunakan seni khat memaparkan wajah Allahyarham di akaun Instagram miliknya.

"Sekejap masa berlalu, genap sebulan pemergianmu! Al-Fatihah," tulisnya.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, pada 10 Februari lalu akibat demam panas.

Abam mendirikan rumah tangga dengan Siti Nor Hidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan.

Abam Bocey, Nor Hidayah

Artikel Lain