suria

Nabila Razali mohon maaf terpaksa tarik diri saat akhir, batal perjalanan ke luar negara gara-gara Covid-19

Nabila mohon maaf kepada pihak penganjur acara di Singapura kerana terpaksa tarik diri di saat-saat akhir.

GARA-gara penularan wabak Covid-19 semakin teruk, penyanyi Nabila Razali terpaksa menarik diri daripada sebuah acara yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada Sabtu.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 28, memohon maaf kepada pihak penganjur dan seluruh warga Singapura kerana tidak dapat membuat persembahan di acara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih tegur...” - Nabila Razali mengaku buat kesilapan bacaan Al-Quran dalam drama 'Pesan Pada Hati'

"Sebagaimana WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, dengan berat hati, saya berasa sedih untuk beritahu bahawa saya tidak dapat membuat persembahan di MegaXpress Expo Halal 2020 yang dijadualkan pada Sabtu, pukul 9 malam.

Nabila memuat naik permohonan maaf kepada pihak penganjur.

"Jadi, demi keselamatan semua Bella ingin memohon maaf kepada pihak penganjur kerana terpaksa menarik diri disaat akhir.

"Kepada orang Singapura, saya minta maaf kerana mengecewakan anda tapi jika anda berada berdekatan, tolong sokong acara itu ya. Saya pasti anda akan bergembira di sana," katanya.

Nabila berkongsi perkara itu di laman Instagramnya pada Jumaat dengan memuat naik kenyataan rasmi permohonan maaf kepada pihak penganjur acara.

Saya harap permohonan maaf saya ini diterima oleh pihak penganjur dan seluruh warga Singapura.

NABILA RAZALI

PENYANYI DAN PELAKON

Rata-rata netizen bersetuju dengan keputusan penyanyi lagu Vroom Vroom itu membatalkan persembahannya atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, Nabila memberitahu pihak pengurusannya turut membatalkan semua perjalanannya ke luar negara kerana enggan mengambil sebarang risiko.

Pelakon drama Seindah 7 Warna Pelangi ini juga mengajak semua peminat mendoakan agar keadaan negara kembali pulih tanpa wabak virus tersebut.

Nabila mendoakan agar wabak Covid-19 cepat berlalu.

"Pihak pengurusan saya membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan membatalkan semua perjalanan saya ke luar negara termasuk Jakarta dan Maldives.

"Sama-sama kita berdoa supaya wabak Covid-19 cepat berlalu. Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Sekali lagi saya ingin memohon maaf.

"Saya harap permohonan maaf saya ini diterima oleh pihak penganjur dan seluruh warga Singapura," ujarnya.

Untuk maklumat, Singapura antara lokasi yang mempunyai jumlah tertinggi mangsa wabak covid-19.

Nabila Razali, Covid-19

Artikel Lain