PENYANYI penyanyi Mya Ruslee atau nama sebenar Myanaliza Ruslee, 44, meninggal dunia pada Rabu. Berita sedih itu disahkan rakan baiknya iaitu Norzana Malek ketika dihubungi mStar. "Mya meninggal di salah sebuah hospital swasta kira-kira pukul 4 petang tadi. ARTIKEL BERKAITAN: Maya Matahari rasa lebih dihormati selepas berhijab ARTIKEL BERKAITAN: Maya Ruslee menangis tertekan untuk buat persembahan "Mya memang ada kanser tahap empat tapi kami tak dapat kongsi info lanjut. Mya pernah menyertai Gegar Vaganza musim kelima. "Sekarang ini tunggu famili berkumpul dan tetapkan di mana jenazah akan dikebumikan," katanya. Difahamkan Mya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan ParkCity di Kepong Kuala Lumpur. Dia tinggal di Damansara Perdana, Selangor. Mya sebelum ini dikenali dengan nama Maya Matahari mengambil lagu popularnya iaitu Matahari. Dia juga dikenali dengan lagu Diari Biru. Sementara itu, penyanyi Syura Badron turut mengesahkan berita pemergian Mya Ruslee. Mya pernah mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz pada 26 Jun 2009, namun bercerai pada 17 Ogos 2015 tanpa dikurniakan anak. Pelakon Nadia Mustafar (kiri) berkongsi foto ketika menziarahi Mya. Turut kelihatan Ida Moin dan suami. Dia menyertai Gegar Vaganza musim kelima pada tahun 2018. Pada Februari 2019, Mya mengorak langkah dalam karier seninya apabila bergelar penyampai radio stesen radio Best FM di Johor Bahru. Penyanyi yang berasal dari Johor ini menerima tawaran berkenaan kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya selain meminati bidang penyiaran. Dalam pada itu mStar difahamkan Mya pulang dari Guangzhou, China beberapa minggu sebelum negara itu dilanda Covid-19 bagi menjalani rawatan kanser. Keadaannya dikatakan agak serius kerana kanser berkenaan dikatakan merebak ke banyak anggota dalaman menyebabkan dia terlantar. Dia juga mendapatkan rawatan jururawat peribadi yang datang merawatnya di rumah. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, jenazah Allahyarham dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat pada Rabu dan dijadual untuk dikebumikan berdekatan pusara bapanya di Machap, Johor pada Khamis.