suria

Hun Haqeem anggap ada hikmah arahan 'Stay At Home' - “Saya dapat berehat sembuhkan kaki”

Hun gunakan peluang berehat di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada penggiat industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, pelakon Hun Haqeem menyambut baik arahan kerajaan itu dan menganggap setiap apa yang berlaku ada hikmahnya tersendiri. 

"Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, bagi saya hikmah dapat berehat di rumah memandangkan saya dalam proses penyembuhan di bahagian kaki yang mengalami kecederaan akibat kemalangan tempoh hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Hun Haqeem terlibat kemalangan motosikal, cedera teruk di tumit

"Selain itu, dapat luangkan masa dengan keluarga... selalu kita merungut tak ada masa dengan keluarga tapi dalam keadaan sekarang ni bersyukur dapat berehat dengan keluarga.

"Banyak lagi aktiviti lain boleh buat kat rumah dan inilah masa untuk kita bersama keluarga! Oleh itu saya anggap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya," katanya kepada mStar.

Hun alami kecederaan di bahagian kaki akibat kemalangan.

Pada 1 Mac lalu, Hun mengalami kecederaan teruk di bahagian kedua-dua tumit apabila terjatuh dari motosikal dan dikejarkan di salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Selain tumit kaki, pelakon drama Seindah 7 Warna Pelangi ini turut mengalami kecederaan ligamen dan perlu menjalani pembedahan.

Dalam pada itu, Hun turut meminta orang ramai tidak panik dengan pelaksanaan perintah tersebut dan tidak ingkar dengan arahan kerajaan.

Ujarnya, masyarakat masih bebas membeli barang keperluan dan situasi di negara kita masih lagi terkawal berbanding negara lain.

Kita ikut sahaja apa yang diminta kerajaan, semuanya demi kebaikan kita... jangan terlalu panik sebab semuanya masih terkawal.

HUN HAQEEM

PELAKON

"Kita ikut sahaja apa yang diminta kerajaan, semuanya demi kebaikan kita... jangan terlalu panik sebab semuanya masih terkawal.

"Sekarang ni pun tak ada masalah nak cari barang keperluan sebab semua masih boleh keluar beli barang-barang.

"Saya mendoakan agar kita semuanya berjaya menempuhi saat ini dan negara kita pulih seperti sedia kala," katanya.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Malaysia bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Muhyiddin turut merayu orang ramai supaya mematuhi arahan tersebut dan kekal berada di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang sudah meragut dua nyawa di negara kita ini.

Hun Haqeem, Covid 19

Artikel Lain