suria

Shah Iskandar padam iklan jual kit ujian Covid-19 selepas dikecam tak sensitif- “Niat saya hanya nak bantu!”

Shah mohon maaf kerana muat naik iklan menjual alat ujian pengesanan Covid-19.

GARA-GARA menjual kit ujian pengesanan Covid-19 di Instagram secara terbuka, pelakon Shah Iskandar menerima kecaman hebat netizen.

Enggan membiarkan netizen terus melemparkan kritikan, Shah, 38, memadam muat naik tersebut dan membuat permohonan maaf atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, dia menafikan mengambil kesempatan atas isu penularan wabak ini sebagai peluang untuknya mendapatkan wang dengan cara mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Serba tak kena! Badan makin besar, jumlah pengikut Instagram ‘sendu’ punca Shah Iskandar hilang ‘job’ lakonan

"Berikutan situasi semasa dan sensitiviti serta dituduh ambil kesempatan nak kaut untung dan lain-lain, saya minta maaf atas muat naik sebelum ini.

"Niat saya hanya nak jual test kit itu sahaja, nak cakap fasal untung tak ada sangat pun! Saya hanya nak bantu mereka yang tak mampu nak buat saringan Covid-19 ini.

Shah buat permohonan maaf secara live di Instagram.

"Berbanding harga yang dijual di portal lain lagi mahal. Saya padam muat naik iklan jualan itu bukan sebab di bawah tekanan tapi sebab saya sedar tak sensitif dengan situasi semasa," katanya.

Shah menjelaskan mengenai perkara itu menerusi siaran langsung di Instagram miliknya.

Pada Jumaat lalu, pelakon drama Syurga Tak Sempurna ini menarik perhatian netizen apabila berkongsi kepada umum mengenai penjualan kit ujian pengesanan Covid-19.

Shah turut memaklumkan bahawa dia juga sudah menjalani ujian pengesanan status Covid-19 berkenaan.

Shah akui tak sensitif dengan isu semasa.

"Saya negatif Covid-19! Alhamdulillah. Saya menjual kit ujian Covid-19 pada harga RM75. Buat tempahan sebelum Ahad ini dan penghantaran dilakukan selepas Selasa. Stok terhad. Lakukan pemeriksaan ke atas diri anda dengan mudah hanya di rumah," tulisnya.

Bagaimanapun, status itu dipadam setelah beberapa jam dimuat naik di laman tersebut.

Sementara itu, Shah berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya atas perkongsiannya itu.

Malah, dia memaafkan netizen yang melemparkan kata-kata kesat dan kecaman terhadapnya berhubung muat naik tersebut.

"Kepada yang dah maki dan keluarkan kata-kata kesat tidak apalah saya maafkan mungkin anda pun tertekan dengan situasi sekarang ini.

"Saya minta maaf dikatakan tak sensitif, saya tak fikir diri sendiri, saya bertanggungjawab sepenuhnya dan tak ada niat pun nak langgar sensitiviti orang lain," ujarnya.

Shah Iskandar, Covid-19

Artikel Lain