suria

Seniman buat laporan polis, Zed Zaidi dedah ada artis tertekan - “Ramai hubungi saya menangis, rasa terhina dan kata nak bersara”

Zed Zaidi bersikap neutral dan menyokong keputusan sepakat ahli Seniman.

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis terhadap seorang selebriti yang merakam video berbentuk hasutan dan kecaman terhadap industri seni Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Menurut Zed, laporan itu dibuat oleh Pengerusi Biro Penguatkuasaan, Badrul Muhayat di Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kau pergi kerja atau saja cuti-cuti?” - Zed Zaidi dakwa Hans Isaac salah guna kuasa Pengerusi Finas

"Laporan polis itu dibuat oleh Ahli Jawankuasa Seniman dan ahli-ahli lain yang bersepakat kerana video hasutan yang hasilkan oleh selebriti itu menyebabkan industri seni dikecam netizen.

"Gara-gara video tersebut, masyarakat salah faham dan mula menghentam anak seni Malaysia dan ini merupakan satu tindakan tidak wajar bermula daripada video yang di muat naik oleh selebriti ini.

Kenyataan Seniman di Instagram.

"Dia menjadi punca sehingga netizen berbalah dan memberi kesan kepada artis. Malah, mereka juga terguris hati dengan kenyataan individu dalam video tersebut," katanya.

Meskipun tidak menyatakan nama, namun rata-rata pengikut membuat andaian laporan polis itu dibuat terhadap pelakon Zarina Anjoulie yang sebelum ini pernah memuat naik video mengecam tindakan beberapa selebriti yang mahukan bantuan daripada kerajaan kerana terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Zed berkata tindakan persatuan itu berlunaskan undang-undang dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap selebriti berkenaan.

"Laporan polis itu dibuat mengikut prosedur berlandaskan akta yang ada dan kita pun memang tak sebut nama di Instagram kerana biarlah semua orang menilai siapa wanita itu. Rasanya semua orang dapat meneka siapa selebriti itu.

Zed Zaidi dedah ada artis menangis dan mahu bersara kerana dikecam netizen.

"Sejujurnya daripada awal saya bersikap neutral dalam hal ini, tapi jika ahli sebulat suara merasakan ini keputusan terbaik, saya menyokong," ujarnya.

Dalam pada itu, Zed turut mendedahkan menerima panggilan daripada sebilangan anak seni yang kecewa dan kesal dengan penularan video itu.

Malah, ada yang meluahkan hasrat mahu bersara kerana tertekan dengan kecaman netizen.

"Video yang dimuat naik oleh individu itu menyebabkan ada anak seni yang tertekan... ramai yang hubungi saya menangis, rasa terhina dan kata nak bersara.

"Mereka ini bukan dalam golongan 10 peratus yang berjaya, tetapi mereka ini adalah antara 90 peratus yang masih memerlukan bantuan untuk hidup.

"Dalam keadaan sekarang ni sepatutnya kita semua bersatu hati dan sepakat untuk membantu antara satu sama lain dan bukan berbalah begini," katanya.

Zed Zaidi, Seniman

Artikel Lain