suria

PU Riz positif Covid-19 - “Doakan saya sembuh”

PU Riz mohon doa orang ramai.

SELEPAS tiga hari mengalami demam panas, pelakon dan pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Riz disahkan positif Covid-19.

Menurut PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, dia menjalani ujian saringan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada Ahad.

“Saya demam sejak tiga hari lalu dan semalam (Ahad) saya pergi buat pemeriksaan di PPUM. Apabila dihubungi tadi, hasil ujian saya positif Covid-19.

“Saya reda dengan berita ini dan anggap ia adalah ujian Allah SWT ini dan akan kuatkan diri berdepan ujian ini.

Bapa saudara Riz turut positif Covid-19.

“Saya harap semua dapat mendoakan semoga saya cepat sembuh dan bebas daripada wabak ini,” katanya kepada mStar pada Isnin.

Sementara itu, Riz berkata sepanjang Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, dia hanya berada di rumah.

Namun cerita Riz, dia pernah mengunjungi Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur sebelum rumah ibadah itu ditutup kerana penyebaran wabak tersebut.

“Rumah saya memang betul-betul di hadapan Masjid Jamek Sri Petaling dan kerap sembahyang di situ sebelum masjid itu ditutup akibat wabak ini.

"Pada kesempatan ini saya nak minta maaf kalau sebelum ini ada salah silap dengan sesiapa, mohon doakan saya cepat sembuh ya!,” katanya.

Dalam pada itu Riz memberitahu pihak hospital akan menjemputnya di rumah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sebelum itu, Riz turut berkongsi berita sedih apabila bapa saudaranya disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di hospital.

PU Riz, Covid-19

Artikel Lain