PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April lalu kini dilanjutkan sehingga 28 April demi memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan Covid-19. Berikutan langkah untuk membendung penularan wabak itu berkemungkinan akan mengambil masa agak lama, usahawan kosmetik Joy Revfa memilih untuk bernikah secara tertutup selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. ARTIKEL BERKAITAN: Joy Revfa selamat bertunang, nikah lepas Hari Raya Aidilfitri - “Dia seorang yang jaga solat dan tak pernah bersentuhan dengan saya” Menurut Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, dia merancang untuk melangsungkan pernikahan dengan tunangnya yang dikenali sebagai Z.A di sebuah masjid namun ia hanya bergantung kepada keadaan ketika itu. Joy bersama keluarganya dan keluarga tunang. "Kalau ikutkan perancangan memang kami nak melangsungkan pernikahan selepas sambutan hari raya nanti. Tapi buat masa sekarang, saya hanya rancang bernikah di masjid dan mungkin hanya dihadiri beberapa orang sahaja. "Kemudian selepas itu baru fikirkan untuk majlis resepsi pula. Tapi semua itu bergantung juga kepada keadaan kan. Kita tak tahu sampai bila krisis penularan wabak Covid-19 ini akan berlanjutan. "Apa-apa pun, Insya-Allah saya akan patuhi arahan kerajaan jika tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang majlis," kata Joy kepada mStar. Sebelum ini, usahawan kosmetik itu selamat mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Z.A pada 14 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup. Saya dah bayar USD250 pun tetap dia tak nak kembalikan akaun Instagram saya. JOY REVFA USAHAWAN KOSMETIK Beberapa selebriti antaranya Heliza Helmi, Lufya Omar dan bekas isteri Fizo Omar iaitu usahawan Mawar Abdul Karim turut menghadiri majlis tersebut. Joy memberitahu dia terpaksa merahsiakan wajah dan identiti kekasihnya kerana bimbang diganggu pihak luar dan hanya akan mendedahkannya selepas mereka melangsungkan pernikahan. Kata bekas isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun ini, mereka berkenalan pada tahun lalu dan jejaka itu mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya. Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Hafiz Hamidun, Joy pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki iaitu Arryan Firdaus yang kini berusia empat tahun. Akaun IG Joy yang digodam pihak tidak bertanggungjawab. Dalam pada itu, Joy meluahkan rasa sedih apabila baru-baru ini akaun laman Instagramnya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai berasal dari Turki. Joy berkata, dia sudah membayar USD250 (RM1000) kepada penggodam tersebut namun sehingga kini masih tidak dikembalikan. "Hacker itu dipercayai berasal dari Turki dan sangat licik. Saya dah bayar USD250 pun tetap dia tak nak kembalikan akaun Instagram saya. Malah, dia jual akaun saya itu kepada syarikat agensi Turki. "Saya beritahu perkara ini supaya orang ramai lebih berhati-hati dan jangan percaya mesej dari WhatsApp yang kononnya akaun akan kena sekat atau verified bluetick," ujarnya.