suria

Izam EYE lalui kehidupan sukar selepas diserang angin ahmar - “Tiga bulan tiada pendapatan... dua rumah sewa, 7 anak nak kena tanggung”

Izam sangat memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak selepas punca pendapatannya terputus sejak 10 bulan lalu.

SELEPAS diserang angin ahmar pada Jun tahun lalu, bekas penyanyi kumpulan EYE iaitu Izam mengakui kehidupannya semakin sukar disebabkan terputus punca pendapatan.

Menurut Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 52, dia sangat memerlukan bantuan dari segi makanan, barangan keperluan dan perbelanjaan untuk rawatan serta ubat-ubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Izam EYE diserang angin ahmar, emosi terganggu... “Dia banyak menangis, bimbang menyusahkan kami dan anak-anak”

Bagaimanapun, Izam meluahkan rasa syukur kerana menerima sumbangan daripada beberapa pihak antaranya penyanyi Nash Lefthanded.



Izam dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar pada Jun tahun lalu.

"Sebelum ini, ada la income daripada show dan perniagaan minyak wangi. Sekarang ini pendapatan saya memang dah tak ada sejak kena serangan angin ahmar Jun tahun lalu.

"Dua rumah sewa nak kena bayar, anak saya ada tujuh orang nak kena tanggung, memang pening kepala memikirkannya. Saya pun dah tiga bulan terpaksa berhenti buat rawatan.

"Duit simpanan saya pun hampir nak habis sebab banyak guna beli barangan keperluan. Jadi, saya memang mengharapkan sumbangan daripada orang ramai.

Dua rumah sewa nak kena bayar, anak saya ada tujuh orang nak kena tanggung, memang pening kepala memikirkannya.

IZAM EYE

PENYANYI

"Tapi saya bersyukur ada yang memberi bantuan antara Nash. Sebenarnya ramai orang tak tahu keadaan saya sebab tak heboh kepada umum," katanya kepada mStar.

Izam mempunyai dua orang isteri iaitu Hayatie Rahmat dan Rosmawati serta dikurniakan tujuh anak.

Menerusi laporan mStar pada 25 Jun lalu, Izam dikejarkan ke Hospital Serdang akibat serangan angin ahmar selepas pulang dari Kuantan, Pahang.

Izam dikatakan berada dalam keadaan lemah dan rebah di ruang tamu kediamannya selepas mengalami kebas-kebas pada bahagian badan.



Punca pendapatan Izam terputus sejak 10 bulan lalu.

Dalam pada itu, Izam memberitahu biarpun keadaannya semakin beransur pulih dan tidak lagi memerlukan kerusi roda namun pergerakannya masih terbatas.

"Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik dan sekarang ini bukan tak sihat tapi kurang sihat. Kerusi roda pun hanya untuk standby sahaja tapi badan tak berapa kuat.

"Kalau sebelum ini saya hanya terbaring saja tapi sekarang dah boleh berjalan. Cuma, kaki kanan dan tangan saya tak kuat.

"Saya tak nak layan sakit, kena cuba kuatkan diri. Selalunya orang kata akan baik dalam lima atau enam bulan tapi hakikatnya sampai masih belum baik," ujarnya.

Izam, EYE,

Artikel Lain