suria

“Ramadan tahun ini terasa sangat... berpuasa tanpa abang” - Nor Hidayah rindu, terkenang puasa dengan Abam Bocey

Hidayah kongsi video kenangan bersama arwah Abam ketika pulang ke kampungnya.

PEMERGIAN Allahyarham pelawak Abam Bocey benar-benar memberi kesan kepada isterinya iaitu Siti Nor Hidayah yang meluahkan rasa sedih menyambut bulan Ramadan pada tahun ini tanpa suaminya disisi.

Hidayah atau nama sebenarnya Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 29, mengimbau kembali kenangan ketika dia dan arwah Abam pulang ke kampungnya di Sabak Bernam untuk berbuka puasa bersama keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nor Hidayah ada pesanan untuk wanita senasib - “Jika ditakdirkan pasangan pergi dulu, usahlah meraung tapi berdoa”

Menurut Hidayah, arwah Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan gemar membeli juadah berbuka seperti murtabak, ayam golek dan macam-macam lagi setiap kali mereka ke bazar Ramadan.



Video kenangan yang dikongsikan Nor Hidayah di Instagram.

"Tahun lalu puasa balik Sabak mesti pergi bazar Ramadan Sabak beli juadah berbuka bersama arwah abang. Beli murtabak, ayam panggang, ayam golek dan macam-macam lagi.

"Adik-beradik pun semua balik berkumpul untuk berbuka sama-sama. Ramadan tahun ini terasa sangat sebab berpuasa tanpa arwah abang disisi sayang.

"Semoga abang tenang di sana. Kenangan kekal abadi hingga ke syurga. Al-Fatihah (dibaca) untuk Allahyarham suamiku sayang, Syed Umar Mokhtar," kata Hidayah.

Hidayah turut memuat naik video kenangan dia bersama Abam ketika pulang ke kampung bertemu keluarganya di laman Instagram.



Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih melihat rakaman tersebut dan turut mendoakan agar arwah Abam berada dalam kalangan orang beriman.

Dunia hiburan pada 10 Februari lalu dikejutkan dengan berita mengenai anggota kumpulan Bocey iaitu Abam meninggal dunia selepas mengalami demam panas selama dua hari.

Allahyarham dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Syed Uthman Hamzah yang kini berusia tujuh bulan.

Nor Hidayah, Abam Bocey, Ramadan, rindu,

Artikel Lain