suria

Daniesh Suffian hilang keyakinan diri setiap kali ditegur terlalu kurus - “Sebulan PKP saya berazam nak naikkan berat badan”

Daniesh Suffian mahu tambah berat badan dan bina keyakinan diri.

PENYANYI baharu, Daniesh Suffian berkata dia pernah berdepan tekanan emosi dan kurang keyakinan diri apabila ditegur mengenai saiz badan.

Daniesh atau nama sebenar Nur Mohd Daniesh Mohd Suffian, 22, berkata teguran individu itu membuatkan dia berazam untuk menambah berat badan dan melakukan senaman bersesuaian.

"Sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya duduk dirumah buat home workout sahajalah sebab memang azam saya nak naikkan berat badan.

"Memandangkan saya memiliki ketinggian 180 sentimeter dan agak kurus, ramailah yang tegur tentang saiz badan ini... secara tak langsung membuatkan saya jadi tak yakin diri, bermulalah daripada situ saya berazam nak naikkan berat badan sedikit.



Daniesh buat senaman dari rumah sepanjang tempoh PKP ini.

"Bersenam ni bukan sebab nak nampak sasa atau sado, cukuplah ada bentuk dan nampak fit... jadi dah sebulan saya workout dan saya sasarkan untuk memiliki berat badan sebanyak 70 kilogram," katanya kepada mStar.

Sementara itu, Daniesh berkata dia terkandas di kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah dan tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur sepanjang tempoh PKP ini.

Malah, perancangannya untuk mempromosikan single terbaharu berjudul Pilihlah Aku terpaksa ditangguhkan.

"Awalnya saya balik kampung untuk jumpa ibu dan ayah, kemudian selepas itu akan pulang semula ke KL untuk promosikan lagu baru.



Daniesh bersyukur dapat habiskan masa bersama keluarga di Sabah sepanjang PKP ini.

"Tapi tiba-tiba PKP, jadi tak boleh nak balik KL dan terkandas di Sabah, sepatutnya promosi lagu baharu bermula awal April ini... nampaknya tiada sebarang pelancaran dan hanya promo menggunakan media sosial.

"Namun, saya anggap ada hikmah atas apa yang berlaku kerana sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga di Sabah. InsyaAllah kita doakan sama-sama supaya negara kita bebas wabak Covid-19," ujarnya.

Pilihlah Aku merupakan single kedua nyanyian Daniesh hasil ciptaan Iqie Hugh, Shaqiel Naufal dan Daniesh Suffian.

Ia telah dilancarkan di laman Youtube World Peace Entertaiment pada 10 April lalu.

Daniesh Suffian

Artikel Lain