suria

Ramai yang degil, Naim Daniel bimbang PKP dilonggar - “Jangan seronok sangat, kita belum menang”

Naim Daniel menyuarakan pandangannya mengenai kelonggaran PKP.

KEPUTUSAN kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei depan mengundang pelbagai maklum balas daripada rakyat Malaysia.

Bagaimanapun ada segelintir rakyat berasa kurang senang dengan keputusan tersebut dan menganggap kelonggaran yang diberikan itu akan mewujudkan satu kluster baharu jangkitan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

Susulan itu, penyanyi Naim Daniel turut menyuarakan kebimbangannya melihat ada sesetengah rakyat yang degil biarpun negara dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.



Naim memuat naik pendapatnya di Instagram.

Naim, 23, melihat golongan degil itu seakan-akan menganggap Malaysia sudah bebas daripada jangkitan tersebut sedangkan negara masih mempunyai dua angka kes.

"Kita belum menang. Malaysia, dalam PKP pun ada diantara kita yang degil. Inikan pula jika dilonggarkan. Jangan sampai angka ajal meningkat memanggil. Habis menyesal seluruh badan. Jangan seronok sangat.

"Kita tak punya vaksin atau penawar. Angka yang dijangkiti masih wujud. Negara Taiwan yang kosong kes pun masih lagi melaksanakan kawalan pergerakan.

Kita belum menang. Malaysia, dalam PKP pun ada diantara kita yang degil.

NAIM DANIEL

PELAKON DAN PENYANYI

"Kita masih lagi dua angka kes setiap hari macam dah menang perang," kata pemilik nama tMuhammad Naim Daniel Baharin itu.

Penyanyi lagu Sumpah itu memuat naik pandangannya mengenai isu tersebut di laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan PKPB itu semasa menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja, pada Jumaat.

Biarpun hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi secara bersyarat mulai 4 Mei ini, majikan disarankan supaya menggalakkan pekerja terus bekerja dari rumah.



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan PKPB semasa menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja.

Dalam pada itu, rata-rata netizen dan beberapa selebriti antaranya Nabila Huda dan Faralyna Idris juga bersetuju dengan pandangan pelakon drama bersiri Pia itu.

"Betul setuju tu. Lepas ini kita tengok macam mana gelagat rakyat Malaysia bila diberi kelonggaran sebegini dan tengok juga bilangan kes Covid 19 setiap hari.

"Setuju. Mungkin desakan dari sesetengah pihak kerajaan longgarkan PKP. Kita yang ada akal fikiran ini sila duduk rumah jangan nak merayap. Stay safe, stay at home. Kita pasti menang.

"Setuju @naimdanielx bila-bila masa saja kes boleh naik semula dengan mendadak. Berhati-hati saja sekarang ini," komen beberapa netizen di laman sosial Naim.

Namun ada antara netizen yang tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana berpendapat keputusan kerajaan itu dibuat selepas mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain