suria

Tolak kisah putus cinta, Siti Nurhaliza minta lirik lagu Basyirah ditukar kepada doa dan harapan

Siti Nurhaliza lancar lagu Basyirah sempena Ramadan.

BIARPUN masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap muncul dengan lagu baharu berjudul Basyirah pada Jumaat.

Lagu sempena Ramadan ini istimewa kerana liriknya menyentuh situasi yang dialami dunia pada masa ini yang berdepan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza berdukacita... lagu baharu 7 Nasihat dicuri secara berleluasa - “Saya mohon hormati hak cipta!”

"Pertama kali mendengar melodinya, saya akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan ketika rakaman saya berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan.

"Ketika perbincangan, memang ada idea untuk memasukkan lirik yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku hari ini.



Lirik lagu Basyirah sesuai dengan situasi semasa negara.

"Lagu ini menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.

"Saya juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan juga petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara," katanya.

Basyirah yang diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud khabar gembira adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan, Ahmad Fedtri Yahya.

Sebagai komposer yang bertanggungjawab untuk menghasilkan lagu itu, Hafiz akui Basyirah memberikan cabaran yang tersendiri buatnya.



Hafiz Hamidun komposer lagu Basyirah.

"Kami rakamkan lagu ini ketika negara sedang melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Ini bermakna rakaman tidak boleh dilakukan di studio seperti kelazimannya dan perlu dilakukan secara berasingan iaitu Datuk Siti merakamkan lagu itu dari rumah.

"Memang agak mencabar kerana agak rumit lebih-lebih lagi membabitkan soal teknikal. Namun kami berjaya melakukannya dan beliau berjaya menterjemahkan maksud keseluruhan lagu itu seperti yang dikehendaki," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Hafiz, Fedtri turut mendedahkan lirik lagu itu terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Siti Nurhaliza.

"Ketika mula mendengar lagu ini melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.

"Namun memandangkan beliau mahukan lirik lagu ini ada kaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak ini segera berakhir, saya ubah liriknya mengikut jalan cerita yang diberikan.

"Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataan," jelasnya.

Lagu Basyirah boleh didengari di semua pelantar digital bermula Jumaat. Manakala lirik video akan ditayangkan di laman Youtube rasmi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada pukul 3 petang.

Artikel Lain