suria

“Terbayang Sufian ketika tulis lirik” - Ada sebab A Aida pilih Sufian Suhaimi nyanyi lagu tema Di Hujung Ranting

Drama Di Hujung Ranting adaptasi dari dua buah novel karya Indah Hairani.

PEMILIHAN Sufian Suhaimi dalam menyanyikan lagu Inikah Dikatakan Cinta sebagai lagu tema drama Di Hujung Ranting berikutan penyanyi itu mempunyai vokal yang unik.

Penerbit drama dan penulis lirik lagu tersebut, Datuk A Aida berkata, keputusan ini juga selepas berbincang dengan komposer lagu tersebut iaitu Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ditakdirkan mati, mama reda, mama mati dalam senyum” - Anak bimbang A. Aida tinggalkan rumah

"Saya memilih Sufian ketika menulis lirik saya terbayang dia yang menyanyikannya.

"Saya juga ada berbincang dengan komposer lagu ini siapakah yang sesuai dan mereka juga mencadangkan Sufian.



Shukri Yahaya dan Nad Zainal sebagai pelakon utama drama Di Hujung Ranting.

"Dari segi vokal, Alhamdulillah saya suka kerana Sufian mempunyai keunikan suara yang tersendiri," katanya kepada mStar pada Jumaat.

Dalam pada itu, A Aida berkata, lagu berentak pop dan ringan itu dalam mengimbangi plot dan jalan cerita drama Di Hujung Ranting yang agak berat dan serius.

"Oleh sebab drama ini serius dan agak berat, saya cipta lagu ini dengan rentak yang lebih ringan untuk dijadikan sebagai lagu tema drama ini," katanya.

Selain itu, A Aida berkata, watak utama yang dilakonkan oleh Shukri Yahaya menjadi inspirasi di sebalik lirik lagu berkenaan.

"Saya cipta lagu ini khas untuk Shukri yang memainkan watak utama dalam drama ini.

"Seperti tajuknya, lagu ini menggambarkan perasaan cinta hero kepada heroin dan bagaimana dia tetap mencintai wanita itu walaupun wanita itu sudah berumah tangga," jelasnya.

Sementara itu, bercerita tentang drama tersebut, A Aida berkata, ia merupakan adaptasi dua buah novel iaitu Di Hujung Ranting 1 dan 2 karya Indah Hairani.

Tambahnya, jalan cerita yang padat dengan konflik mudah diterima kerana dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

"Saya rasa plot drama ini akan jadi lebih padat bila saya gabungkan kedua-dua novel untuk dijadikan satu drama, menjadikan cerita itu lebih menarik.

"Walaupun plot ini agak klise seperti kebanyakan drama Melayu, tetapi yang klise itulah yang orang mahu tonton kerana kejadian itu dekat dengan masyarakat kita.

Yang klise itulah orang nak tonton kerana kejadian itu dekat dengan masyarakat.

DATUK A AIDA

PENERBIT

Sementara itu, A Aida berkata penggambaran yang dilakukan di Terengganu dan sekitar Kuala Lumpur itu berjalan dengan lancar tanpa berdepan masalah.

"Alhamdulillah, saya jarang sekali menghadapi masalah semasa pembikinan drama kerana saya akan memilih krew produksi yang sudah biasa bekerja dengan saya.

"Begitu juga dengan pemilihan barisan pelakon, saya sendiri yang tentukan siapa yang akan lakonkan setiap watak," ujarnya.



Salah satu babak dalam drama Di Hujung Ranting.

Di Hujung Ranting mengisahkan tentang seorang gadis bernama Mawardah, anak yatim piatu yang dibesarkan oleh ibu saudara.

Mawardah bersahabat baik dengan Adi, pemilik sebuah kafe dan menganggap Adi seperti abangnya sendiri. Amar seorang pemuda dari Kuala Lumpur berada di Terengganu untuk menguruskan sebuah projek pembinaan milik syarikat bapanya.

Dalam satu insiden, Amar telah terlanggar kereta Mawardah dan sejak kejadian itu mereka mula berkawan rapat.

Drama 30 episod itu dilakonkan oleh Shukri Yahaya, Dayang Areeda, Nad Zainal dan Amar Asyraf disiarkan setiap hari sepanjang Ramadan pada pukul 5.30 petang, di TV2.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain