PELAKON Zul Yahya menyeru penggiat seni terutamanya pekerja belakang tabir meninggalkan industri hiburan dan mencari pekerjaan yang lebih diredai oleh Allah SWT. Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, 47, sepanjang lebih 20 tahun bergelar anak seni, dia melihat industri filem dan drama dipenuhi dengan dosa dan hanya memikirkan keuntungan pihak-pihak tertentu sahaja. "Saya nak kongsi satu perkara atas pengalaman dalam bidang ini lebih 20 tahun sebagai anak seni... untuk adik-adik, sahabat yang berada dalam industri filem, drama tanah air terutamanya belakang tabir iaitu kru teknikal dan kru produksi. ARTIKEL BERKAITAN: Intan Najuwa padam foto dan 'unfollow' tunang? Zul Yahya tegur 'babak' panas mandi laut - “Cari rezeki jangan abaikan hak-hak agama” "Saya nak syorkan kepada sahabat-sahabat, jom kita ubah kehidupan kita. Industri ini tak bawa ke mana-mana, tak ada keberkatan, kita dapat banyak mana pun rasa tak cukup. "Industri ini dipimpin sangat-sangat lari dari kehendak Allah SWT. Kita tahu banyak kaki ampu, berpuak-puak dan juga banyak pentingkan diri sendiri, banyaknya rasuah, bila mereka ada kuasa salah guna dan penuhkan diri untuk nafsu mereka," katanya. Pelakon drama Salam Terakhir ini berkongsi pandangannya itu menerusi laman Instagram pada Rabu. Zul kongsi pandangannya berhubung isu pekerja belakang tabir di laman Instagram. Sementara itu, Zul berkata penat lelah dan pengorbanan pekerja belakang tabir seakan tidak dihargai pihak produksi yang hanya memikirkan keuntungan. "Ini yang kita nampak depan mata pernah berlaku... nasib kru-kru semua kita tahu mereka bekerja susah payah keluar pagi balik pagi, kerja tak ikut tempat, makan merata-rata, pengorbanan dan usaha mereka tapi pihak atasan tak nampak pengorbanan itu. "Apa yang mereka nampak keuntungan peribadi... ini yang berlaku penerbit, pengarah, stesen televisyen tak ambik berat soal keberkatan, malah yang ditayang tak beri keberkatan apatah lagi yang diusahakan. "Yang mana sahabat-sahabat bidang production dan teknikal inilah masa ambillah peluang ini. Allah hadirkan ujian Covid-19 ini untuk kita berfikir peluang ini dan ubah cara hidup kita, undur diri," ujarnya. Zul Yahya tinggalkan dunia hiburan untuk mencari keredaan Allah. Melihat nasib segelintir anak seni yang terpinggir di hujung kehidupan mereka, Zul berkata dia turut bersedih mengenangkan pengorbanan yang tidak dihargai itu. "Ramai sahabat-sahabat saya dulu penghujung kehidupan mereka tak ada apa-apa... dah la EPF (simpanan pekerja) tiada, insuran pun kadang hidup kadang tak hidup, kejayaan tak ada... yang ada segelintir sahaja, kejayaan dunia manakala akhirat belum lagi. "Jom kita undur diri cari rezeki yang lebih berkat, keberkatan Allah ini kita kena cari, biar sikit tapi cukup, banyak sumber rezeki lain, rezeki sangat luas. Jangan taruh diri kita kepada industri, industri kita fail... kita kena ubah, nak industri bagus... kita kena ubah! "Saya bercakap berdasarkan pengalaman, itu satu sebab saya undur diri. Selagi belum ada corak baik selagi itu keberkatan tak ada... sayang, sedih tapi banyak jalan kita boleh usahakan, tinggalkan industri ini... kita penat saja tak ada siapa hargai!," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!