suria

Nora Danish khatam Al-Quran 9 malam terakhir Ramadan - “Niat bertahun-tahun tersekat, berkat doa lepas solat!”

Nora Danish sebak dan menitiskan air mata apabila berjaya menamatkan bacaan Al-Quran.

PELAKON Nora Danish sebak dan menitiskan air mata apabila berjaya menamatkan bacaan Al-Quran pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini.

Mengakui pada awalnya agak sukar untuk memulakan bacaan, Nora bagaimanapun berkata berkat doa dan kesungguhan dia berjaya menghabiskan semua juzuk dalam masa singkat.

"Ya Allah, syukur Alhamdullilah. Mengalir air mata kegembiraan macam tak percaya dapat Khatam pada sembilan malam terakhir Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Elizad kongsi tip khatam Al-Quran di bulan Ramadan - “Letak telefon dekat luar semasa mengaji dan selesai solat”

"Pada mulanya satu muka surat nak habiskan rasa susahnya. Lama-lama lima muka surat, jadi 10, jadi 20, jadi 30 dan seterusnya sampai mencecah 150 muka surat satu hari... sampai rasa tak sabar nak bangun tidur dan mula mengaji.

"MasyaAllah... berkat doa lepas solat bersungguh-sungguh sampai menangis minta Allah berikan jalan mudah untuk mengaji. Nak sangat hadiah pada arwah papa dalam bulan penuh keberkatan ini," katanya menerusi Instagram pada Khamis.



Nora berkongsi kegembiraan di Instagram.

Dalam pada itu, Nora berkata dia tergerak hati untuk mengaji Al-Quran setelah melihat ada rakan artis berjaya menamatkan bacaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Malah, dia turut mengakui sudah lama menyimpan niat untuk khatam Al-Quran, namun terhalang dengan jadual kerja yang padat.

"Nampak mudah khatam ni bagi sesetengah orang tetapi tidak bagi Nora, dengan jadual Nora yang padat, niat nak khatam bertahun-tahun tersekat.



Suami pendorong Nora habiskan bacaan Al-Quran.

"Sampailah masa PKP tergerak hati nak cari balik PU Hafiz ada hadiahkan digital pen Al-Quran untuk Rayqal, jadi nak ajar Rayqal mengaji sebab takut lama berhenti mengaji dia lupa, jadi saya pula berminat dengan pen digital itu, saya pula mula mengaji.

"Aturan Allah ditambahkan pula bila lihat Instagram Elizad Sharifuddin dah khatam semasa PKP, lagi berkobar jiwa raga ini. Thank you babe, awak pendorong semangat!," ujarnya.

Sementara itu, pelakon sitkom Puteri ini berterima kasih kepada keluarga termasuklah suaminya, Nedim Nazri yang memberikannya sokongan sehingga berjaya menamatkan bacaan Al-Quran tersebut.



Tempoh PKP ada hikmah buat Nora Danish.

Dia juga berharap perkongsiannya ini dapat memberi manfaat dan mendorong semangat peminat untuk sama-sama mengejar pahala di bulan mulia ini.

"Allah Maha Mendengar... terima kasih pada pengikut yang mendoakan setiap kali Nora kongsi perjalanan khatam ini. Perjalanan khatam ini tidak akan sempurna tanpa doa suami dan ibu tercinta.

"Suami yang banyak bersabar mendengar suara sumbang setiap hari. Ada hikmah PKP ini bagi saya, boleh fokus 110 peratus... kalau tidak dugaan! InsyaAllah, Nora akan khatam pula bersama ustazah atau ustaz apabila semua dah okay.

"Harap post ini akan membuka niat pada mereka yang lain. Sama-sama kita kongsi benda yang baik. Khatam Quran ini Nora ingin sedekahkan pada arwah papa. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nora Danish, Khatam Al-Quran

Artikel Lain