suria

Isteri Ahmad Tarmimi Siregar meninggal dunia akibat masalah pernafasan - “Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja”

Isteri Dauk Ahmad Tarmimi menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat.

ISTERI kepada pelakon, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar iaitu Datin Zulhaila Siregar Sulaiman menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 pagi, Jumaat.

Menerusi laporan Harian Metro, Ahmad Tarmimi memaklumkan Allahyarham yang berusia 64 tahun meninggal dunia di kediaman mereka di Bangsar, Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan.

"Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabrina tidak fikir soal kontroversi

"Kali terakhir saya bercakap dengannya sebelum tidur iaitu jam 11 malam. Saya sempat hantar video kepada ahli keluarga bagi memaklumkan keadaannya yang tidak berapa okay. Pernafasannya dan oksigen kurang bagus serta nampak penat sangat.

"Saya nak bawa dia ke hospital, tapi disebabkan penyakit dialami membabitkan paru-paru ditambah pula musim Covid-19, jadi saya fikir ia tidak sesuai. Tidak menjangka pula dia sudah mahu pergi," katanya.

Foto kenangan Ahmad Tarmimi bersama isteri.

Sementara itu, Ahmad Tarmimi berkata keadaan kesihatan isterinya mula merosot beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) tujuh tahun lalu.

"Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.

"Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.

"Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur.

Sementara itu, beberapa rakan artis turut berkongsi duka dan memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di Instagram.

Untuk rekod, Zulhaila merupakan penerbit bersama filem Belukar lakonan Bront Palarae dan Daphene Iking.

Dia juga pernah membintangi filem Sepi pada 2008.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain