suria

Berkelakuan pelik, Yonnyboii mengaku hidap ADHD - “Saya anti sosial, ramai tak suka dan sering jadi mangsa kutukan”

Yonnyboii jawab persoalan segelintir pihak yang memandang serong dirinya dilihat tidak sempurna.

PENYANYI dan komposer muda, Yonnyboii mengesahkan dia menghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif setelah menjalani pemeriksaan pakar, baru-baru ini.

Yonnyboii atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata dia membuat pendedahan tersebut bagi menjawab persoalan segelintir individu yang memandang serong kelakuannya yang gemar menyendiri.

"Saya ingin berkongsi kenapa selama ini orang menilai saya pelik sehingga dihakimi dan disalah erti... sebenarnya selepas membuat pemeriksaan saya mempunyai penyakit sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak ramai kawan, suka menyendiri dan cepat marah” - Yonnyboii cerita kisah peribadi di zaman sekolah

"Terjawab kenapa saya berkelakuan, berasa seperti orang buangan dan sebagainya. Selepas melalui banyak perkara, saya sedar sebagai manusia, Allah sudah ciptakan kita sempurna dengan pelbagai sifat dan kerenah.

"Kita semua unik dalam pelbagai cara. Kita sempurna dan cantik dengan cara tersendiri. Jadi, bagi saya untuk mengatakan manusia tak sempurna adalah tidak tepat, ” katanya.



Yonnyboii akui sindrom dihidapi menjadi punca dia berkelakuan pelik.

Penyanyi lagu Sakit ini membuat pendedahan tersebut bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-22 pada Rabu.

Bersempena hari penuh bermakna itu, Yonnyboii turut melancarkan lagu solo baharu berjudul Aku Itu Aku.

"Lagu ini dilancarkan sempena hari jadi saya sebagai hadiah buat diri sendiri sebagai peringatan untuk diri saya yang semakin meningkat usia tapi masih lagi orang sama.

"Lagu ini juga berkaitan kehidupan dan penyakit saya... dalam masa sama untuk mengingatkan diri yang saya adalah normal cuma sedikit istimewa. Saya nak perbetulkan apa yang orang sering cakap semua manusia tak sempurna.



Yonnyboii lebih selesa berkongsi cerita dalam lagu.

"Setiap orang ada kesakitan dan peningkatan dalam hidup dan harapnya menerusi lagu ini orang dapat kaitkan dalam diri masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu, Yonnyboii berkata dia menjadikan lagu tersebut sebagai ruang untuk meluahkan isi hatinya.

"Saya ini macam budak pelik. Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial dan menyedari tak semua orang menyukai saya serta sering menjadi mangsa 'bahan' (kutukan).

"Bagi saya, tak ada masalah nak menjadi pelik. Tak salah menjadi diri sendiri. Kenapa nak kena berselindung?," ujarnya yang baru melancarkan lagu berjudul Salahku pada bulan lalu.

Aku Itu Aku dimuat naik di laman YouTube Universal Music Malaysia dan semua platform digital bermula Rabu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Yonnyboii, Aku Itu Aku, Salahku

Artikel Lain