suria

Hafiz Hamidun lebih sensitif sejak jadi bapa - “Awal tu kekok sikit tapi lama-lama tiada masalah”

Sepanjang menjaga Hamdee, Hafiz lebih banyak bersabar dalam melayan ragam anaknya.

PENYANYI Hafiz Hamidun bersyukur dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak angkatnya, Hamdee Hafiz sepanjang tempoh mencabar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hafiz berkata, pada permulaannya agak kekok tetapi atas sokongan dan nasihat daripada keluarga, dia semakin seronok dan dapat membiasakan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Hamidun sudah jadi ayah - “Semoga amanah dari Allah ini dapat saya jaga dengan penuh kasih sayang”

"Sebelum saya buat keputusan untuk mengambil Hamdee sebagai anak angkat, saya sudah bertanya pada keluarga, jadi saya memang dah bersedia dari segi mental, kewangan dan sebagainya.

"Saya bersyukur keluarga ada disisi untuk tolong dan sokong keputusan saya. mereka juga bagi banyak nasihat. Awal-awal tu agak kekok sikit tapi lama-lama dah tak ada masalah," kongsi Hafiz.

Menjadi seorang bapa mengajar Hafiz untuk lebih bersabar dan sensitif.

Selain lebih bersabar dan sensitif sejak menjadi seorang bapa, Hafiz percaya menjaga Hamdee sepanjang tempoh PKP memberi dia peluang untuk menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

"Menjaga Hamdee tidak terlalu sukar sampai saya perlu mengeluh dan sebagainya. Malah setiap hari saya belajar banyak benda.

"Saya belajar bersabar dan lebih sensitif dengan apa yang anak saya mahukan. Menjaga Hamdee sepanjang PKP ni ada banyak hikmahnya saya boleh tumpukan hampir sepenuh masa saya untuknya.

"Saya bayangkan kalau tiada PKP mungkin saya akan panggil pembantu dan sebagainya jadi saya tak akan dapat luangkan masa bersamanya. Tapi setakat ni memang saya dapat masa yang berkualiti bersama anak saya," katanya.

Hafiz akui pada mulanya agak kekok menjaga Hamdee, tetapi lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan.

Mengulas tentang tip yang diamalkan dalam membesarkan Hamdee, Hafiz menegaskan ibu bapa perlu cekap dan mengekalkan rutin yang sama pada setiap malam.

"Ramai orang bagi tip pada saya untuk kekalkan rutin yang sama pada setiap malam. Contohnya, tetapkan pukul berapa nak mandikan dia, pukul berapa nak menyusukan, pukul berapa nak tidurkan.

"Awal-awal dulu pun saya agak takut, kadang-kadang saya terlebih buat persiapan. Tapi sekarang ni saya sudah semakin cekap," ujar Hafiz kepada mStar.

Tambah penyanyi itu walaupun Hamdee tidak mempunyai seorang ibu, ia tidak menjadi masalah kerana Hafiz yakin dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa dan juga seorang ibu.

Bila ada Hamdee, perasaan menyambut raya tu jadi lain.

HAFIZ HAMIDUN

PENYANYI

"Saya rasa pengalaman ini semua orang akan merasa cuma mungkin Hamdee ada sedikit kekurangan kerana dia tidak ada ibu tapi sebab dia ada saya, jadi sayalah perlu galas tanggungjawab sebagai bapa dan ibu.

"Lama-kelamaan dia akan rasa selamat dengan orang yang dia dah kenal dan selesa. Anak saya pun dah pandai berbual dan pandai mengagah-agah jadi dapatlah saya rasai kegembiraan itu sedikit demi sedikit," jelasnya.

Walaupun tidak dapat beraya bersama kedua ibu bapa, komposer itu sempat berkongsi pengalaman pertama kali beraya bersama anak serta adik-beradik.

"Tahun ni saya tak dapat balik kampung jadi agak ralat sedikit. Tapi bila ada Hamdee, perasaan menyambut raya tu jadi lain.

"Pada tahun ini, saya berkumpul dengan adik-beradik di Kuala Lumpur dan kami hanya berkomunikasi dengan ibu bapa yang berada di kampung di Perak secara online," kata Hafiz.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hafiz Hamidun

Artikel Lain