suria

Hidayah teringat janji tak kesampaian arwah Abam - “Sayang sedih sangat... abang pergi dulu tinggalkan kami”

Hidayah berkongsi foto kenangan bersama arwah Abam ketika berhari raya tahun lalu.

SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini berbeza buat Nor Hidayah apabila terpaksa meraikannya tanpa suami tercinta, Allahyarham Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan.

Menerusi Instagram, Hidayah berkongsi foto kenangan mereka berdua berlatarbelakangkan sawah padi di Sungai Besar, Selangor.

Menurut Hidayah, arwah pernah menyatakan hasrat untuk bergambar bertiga bersama anak mereka, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey pada Aidilfitri tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilu... Nor Hidayah sambut Aidilfitri tanpa Abam Bocey di sisi - “Rasa janggal kerana selama ini arwah yang sediakan persiapan”

"Kenangan yang tak dapat dilupakan... tahun lepas, Hamzah masih dalam perut ibu. Ibu bergambar dengan ayah berlatar pemandangan sawah padi.

"Masa ni ayah cakap, tahun depan Hamzah pula bergambar dekat pemandangan sawah padi ni. Ayah, harini ibu bawa Hamzah bergambar di pemandangan sawah padi yang ayah dan ibu pernah bergambar tahun lepas.

"Betullah apa ayah cakap, tahun ni Hamzah pula bergambar. Semoga abang tenang disana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Kenangan sampai syurga!," katanya.

Perkongsian Hidayah undang sebak pengikut.

Perkongsian Hidayah itu mengundang sebak dalam kalangan pengikut di Instagram milik Abam itu.

Sementara itu, Hidayah mengakui terlalu merindui arwah dan berasa sedih ketika membuat persiapan untuk Hamzah di pagi 1 Syawal lalu.

"Tahun lepas beraya dengan arwah, Hamzah masih dalam kandungan tapi tahun ni sekelip mata arwah pergi tinggalkan kami terasa sedih dan sayu sangat hati ni. Tak dapat nak gambarkan apabila pakaikan Hamzah baju raya di pagi raya, terasa pilu sekali.

"Abang, sayang rindu sangat dengan abang, sayang rindu sangat dengan pelukan kasih sayang abang pada sayang dan Hamzah. Sayang sedih sangat abang sebab tahun ni sepatutnya kita sambut hari raya sama dengan anak kesayangan kita tapi abang pergi dulu tinggalkan kami.

Hidayah bersama Hamzah bergambar bersama foto arwah Abam.

"Hanya sekeping gambar nikah yang menjadi pengubat rindu sayang dan Hamzah, hanya Allah yang tahu perasaan sayang. Sayang doakan abang tenang di sana dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh... kenangan sampai ke syurga!," ujarnya

Dalam pada itu, Hidayah turut meluahkan rasa lega apabila berjaya mendapatkan semula akaun Instagram suaminya yang digodam pada awal Mei lalu.

"Alhamdulillah, Instagram ni dapat semula setelah di hack beberapa minggu lepas... terima kasih kepada yang sudi membantu," katanya.

Abam berkahwin dengan Nor Hidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia 11 bulan.

Allahyarham Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Abam Bocey, Hamzah

Artikel Lain